Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Menunaikan Solat Fardu Asar berjemaah yang berlangsung di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, hari ini.
Hadir di majlis tersebut ialah ahli-ahli MKKJR, Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi (MTIC), Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan) MTIC selaku Setiausaha MKKJR serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC, jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak-pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan diteruskan dengan menunaikan Solat Fardu Asar berjemaah yang dipimpin oleh Imam Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, Haji Asyhraf bin Haji Bujang.
Majlis membaca Ratib Al-Attas merupakan aktiviti berterusan pihak MKKJR bagi memohon doa kepada Allah SWT supaya semua pengguna jalan raya terpelihara daripada sebarang kemalangan dan juga Negara Brunei Darussalam sentiasa diberikan perlindungan dan keselamatan yang berterusan.
Sehubungan itu, MKKJR menyeru pengguna-pengguna kenderaan di jalan raya supaya sentiasa memastikan kenderaan di dalam keadaan baik, berhati-hati dan berbudi bahasa ketika berada di jalan raya dengan memandu tidak melebihi had yang telah ditetapkan.
Di samping itu, mereka juga digesa memastikan tiada gangguan semasa memandu termasuk penggunaan telefon bimbit dan sentiasa mencuba untuk mengekalkan jarak yang selamat antara kereta lain terutama sekali dalam keadaan cuaca hujan.


