Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 APRIL – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) telah mengadakan Majlis Membaca Ratib Al-Attas, Solat Sunat Hajat dan Solat Fardu Asar Berjemaah hari ini di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop.
Hadir di majlis tersebut ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi) di Kementerian Pengangkutan dan Infokommunikasi (MTIC), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan), Haji Mohd Salihin bin Haji Aspar selaku Setiausaha MKKJR, ahli-ahli MKKJR, serta ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan MTIC dan jabatan-jabatan serta agensi-agensi pihak berkuasa di bawahnya.
Majlis dimulakan dengan bacaan Ratib Al-Attas, diikuti dengan solat Sunat Hajat dan diteruskan dengan solat Fardu Asar berjemaah, yang diimamkan oleh Imam Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop, Awang Mohamad Omar Afiq Hasyir bin Awang Haji Ismail.
Majlis tersebut merupakan salah satu inisiatif berterusan pihak MKKJR dalam memohon perlindungan Allah SWT agar seluruh pengguna jalan raya dilindungi daripada sebarang kemalangan serta agar Negara Brunei Darussalam akan sentiasa berada dalam keadaan aman, selamat dan diberkati.
Sehubungan itu, pihak MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa memandu tidak melebihi had laju yang ditetapkan, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan lebih berhati-hati semasa keadaan cuaca hujan.
Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama, ia bergantung kepada kewaspadaan dan sikap berhemah setiap individu.
Pihak MKKJR juga menyarankan agar amalan membaca doa sebelum memulakan perjalanan sentiasa diamalkan sebagai satu bentuk ikhtiar dan tawakal kepada Allah SWT, demi keselamatan diri dan orang lain.
Turut hadir, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, serta guru-guru dan murid-murid Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Serusop.
