Monday, May 12, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MKKJR anjur Solat Sunat Hajat, Ratib Al-Attas

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) Negara Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan Majlis Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah dan Ratib Al-Attas di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    Majlis berkenaan merupakan acara bulanan MKKJR yang diadakan khusus untuk memohon kehadrat Allah SWT supaya negara ini, terutamanya pengguna-pengguna jalan raya sentiasa diberikan perlindungan daripada kemalangan dan perkara-perkara yang tidak diingini.

    Di samping itu juga, acara ini merupakan usaha berterusan MKKJR untuk memohon berkat dalam segala usaha dan perancangannya ke arah meningkatkan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan semua.

    Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar selaku Pemangku Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi.

    Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Awang Muhammad Nazri bin Haji Muhammad Yusuf selaku timbalan pengerusi II MKKJR; Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan Haji Abdul Manap bin Othman selaku ahli MKKJR; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perkembangan), Pengiran Mohd Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud selaku setiausaha MKKJR, ahli-ahli MKKJR lain, ketua-ketua jabatan dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan Info-komunikasi serta agensi-agensi yang berkepentingan seperti Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas, Polis Diraja Brunei.

    Dalam kesempatan ini, MKKJR terus menyeru semua pengguna jalan raya untuk memulakan setiap perjalanan dengan doa di samping meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika memandu di jalan raya serta mengamalkan sikap pemanduan yang berhemah.

    Pemandu-pemandu juga terus diseru untuk sentiasa mementingkan keselamatan serta mengamalkan pemakaian tali pinggang keledar, tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan untuk sentiasa mematuhi had laju yang ditetapkan serta tanda-tanda isyarat lalu lintas yang dipamerkan demi menjaga keselamatan bersama serta bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham ketika menyertai Ratib Al-Attas di Surau Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda