MKKJR anjur taklimat kesedaran keselamatan jalan raya

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JUN – Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) hari ini, telah mengadakan taklimat Program Kesedaran Keselamatan Jalan Raya bagi sektor kerajaan di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.

Antara isi kandungan taklimat ialah perangkaan kemalangan, etika pemanduan dan perundangan yang disampaikan oleh Penolong Pengarah Pengangkutan Darat, Haji Mohammad Syafien bin Yandol dari Urus Setia Ehwal MKKJR serta pegawai-pegawai penguat kuasa dari Jabatan Pengangkutan Darat (JPD). Taklimat dihadiri oleh warga Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan serta pihak-pihak berkuasa di bawahnya.

Ia merupakan salah satu program inisiatif Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2025 yang bertujuan memberigakan dan meningkatkan lagi kesedaran serta pemahaman pemandu atau pengguna jalan raya tentang pentingnya keselamatan jalan raya. Taklimat berkenaan merupakan program kesedaran berterusan dalam Pelan Strategik Keselamatan Jalan Raya Brunei Darussalam 2025.

Dalam kesempatan itu, MKKJR menyeru semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan kewaspadaan dengan memberikan tumpuan dan perhatian penuh ketika berada di jalan raya, dan sentiasa mengamalkan sikap memandu yang berhemah. MKKJR juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan keselamatan jalan raya terjaga, ini termasuk daripada perancangan, penyediaan dasar, penguatkuasaan, petugas kecemasan, pertubuhan bukan kerajaan dan juga orang ramai.

Antara peserta yang menghadiri taklimat yang dianjurkan oleh Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya yang berlangsung di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi kelmarin.