Wednesday, December 25, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    MKM bantu keluarga kurang kemampuan beli barangan sekolah

    Oleh Salwati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 DIS – Dalam memberi keceriaan kepada klien Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) untuk anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan, enam buah keluarga dari Daerah Brunei dan Muara dan Daerah Temburong telah dibawa berbelanja untuk membeli keperluan sekolah menerusi Program Kembali Ke Sekolah, hari ini.

    Program yang telah dilaksanakan lebih 10 tahun itu antara lain bertujuan untuk meringankan beban klien MKM dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak dan seterusnya memberi semangat dan galakkan kepada anak-anak MKM untuk terus memajukan diri dalam pembelajaran mereka, sekali gus mengubah kehidupan keluarga.

    Perkara tersebut dijelaskan oleh Ahli Jawatankuasa MKM, Dayang Zubaidah binti Dato Haji Abu Zar dan Dayang Siti Razidah binti Mohamad, ketika ditemu bual di Pejabat MKM di Kampung Anggerek Desa.

    Untuk program kembali kali ini, 46 orang anak-anak klien MKM di seluruh negara yang berumur antara lima hingga 19 tahun yang terdiri daripada pelajar sekolah rendah dan menengah berpeluang menikmati pembelian barangan keperluan persekolahan baharu mereka untuk sesi akademik 2025 ini.

    “Daripada jumlah tersebut, ia tidak termasuk bagi pelajar pendidikan teknik dan pengajian tinggi,” jelas Dayang Zubaidah.

    Dayang Zubaidah bersama klien MKM bergambar ramai semasa membeli barangan persekolahan di kedai buku. – GAMBAR OLEH SALWATI HAJI YAHYA
    Dayang Zubaidah (kanan) menjelaskan, dengan program ini akan dapat menceriakan anak-anak klien MKM dalam membuat persiapan persekolahan. – GAMBAR OLEH SALWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALWATI HAJI YAHYA
    GAMBAR OLEH SALWATI HAJI YAHYA

    Katanya lagi, “Selain menerima barangan persiapan persekolahan seperti peralatan tulis, baju seragam sekolah dan sebagainya, MKM turut menyediakan yuran pendaftaran persekolahan.

    “Hasil sumbangan yang diberikan untuk Program Kembali Ke Sekolah ini adalah merupakan sumbangan daripada para dermawan yang telah memberi amanah kepada MKM untuk membantu klien MKM yang terdiri daripada golongan keluarga yang kurang berkemampuan,” jelasnya.

    Dengan adanya sumbangan daripada para dermawan yang prihatin terhadap kebajikan golongan ini terutama daripada segi pendidikan, ia sedikit sebanyak akan dapat meringankan perbelanjaan dalam membuat persiapan persekolahan anak-anak mereka.

    Menerusi program pembelian barangan kembali ke sekolah ini, tambahnya, MKM akan meneruskan kumpulan seterusnya yang mana akan diadakan pada 27 Disember di salah
    sebuah kedai buku di Kampung Serusop.

    Sejak penubuhan MKM pada tahun 2012, sebanyak 400 buah keluarga yang kurang berkemampuan telah menjadi klien MKM.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda