Tuesday, January 21, 2025
28.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    MKM lancar Projek Ratu Cef Temburong, perkasa wanita tempatan

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JAN – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) akan melancarkan Projek Ratu Cef Temburong pada 26 Januari ini, bertujuan meningkatkan kemahiran kulinari wanita tempatan dan mendorong mereka menceburi bidang keusahawanan makanan, khususnya klien-klien MKM.

    Setiausaha Agung MKM, Dayang Nurdiyanah binti Haji Pudin, berkata projek ini memfokuskan kepada penyediaan makanan jalanan dan masakan kampung sebagai langkah membantu peserta memulakan perniagaan kecil-kecilan di Daerah Temburong, sekali gus menambah pendapatan keluarga.

    “Projek ini dirancang sebagai persiapan awal bagi peserta memulakan perniagaan menjelang bulan Ramadan nanti. Ia juga memenuhi permintaan klien MKM selain mendapat sambutan baik daripada persatuan saudara baharu di Temburong,” katanya semasa ditemu bual baru-baru ini.

    Dayang Nurdiyanah menjelaskan, projek ini merupakan kesinambungan daripada program menjahit dan menjual beg jinjing yang dijalankan di Kampung Selapon pada 2024, yang berjaya memberikan kemahiran baharu kepada peserta.

    “Projek Ratu Cef Temburong adalah yang pertama kali dianjurkan di daerah ini. Sebelum ini, konsep serupa yang memfokuskan pembuatan biskut dan makanan kering pernah diadakan di Daerah Brunei Muara dengan hasil yang menggalakkan,” katanya.

    MKM turut menawarkan kursus tambahan kepada peserta termasuk penyediaan sos cili dan nuget ayam bagi melengkapkan kemahiran mereka.

    Menurut beliau, perbincangan telah diadakan dengan Pegawai Daerah dan pegawai Jabatan Daerah Temburong, yang memberikan sokongan penuh, terutamanya dari segi logistik.

    “Kami berharap projek ini bukan sahaja membuka peluang pekerjaan kepada wanita tempatan, malah meningkatkan taraf ekonomi keluarga dan memperkasakan wanita dalam bidang masakan serta perniagaan,” tambahnya.

    Dayang Nurdiyanah semasa ditemui bagi mengongsikan mengenai Projek Ratu Cef Temburong yang akan bermula pada 26 Januari ini. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda