Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) hari ini meneruskan lagi usahanya dalam membantu keluarga dan masyarakat yang memerlukan bantuan dengan menyerahkan sumbangan bagi melengkapi rumah yang baru didiami sebuah keluarga di Kampung Junjongan.
Sumbangan berupa perabot seperti set kerusi, tikar getah, langsir dan sebagainya telah diserahkan oleh Presiden MKM, Datin Paduka Hajah Intan binti Haji Mohd Kassim kepada Awang Hamri bin Haji Ibrahim, 45.
Selain itu, keluarga berkenaan turut menerima sumbangan bekalan makanan asasi dan keperluan rumah sehari-hari seperti beras, sabun pencuci dan bermacam-macam lagi dengan harapan dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.
Timbalan Setiausaha Agung MKM, Dayang Siti Mariana binti Haji Makbar ketika ditemui memberitahu bahawa usaha seperti itu akan sentiasa dan terus diadakan bagi membantu golongan yang memerlukan di negara ini.
Oleh itu, beliau menyeru orang ramai bersama-sama pihak MKM dalam membantu atau menderma bagi disalurkan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan bantuan di negara ini.

Awang Hamri yang merupakan seorang pesara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei bersama isteri dan sembilan orang anaknya kini dapat tinggal di sebuah rumah selesa yang baru diterimanya baru-baru ini.
Beliau sekeluarga turut mengucapkan penghargaan kepada pihak MKM kerana terus memberikan bantuan dan perhatian kepada diri dan keluarganya selama ini dalam meringankan beban mereka.
Selain daripada itu, ketika ini MKM turut mengadakan aktiviti dalam mengumpulkan pakaian-pakaian terpakai sempena Hari Raya yang bakal menjelang tidak lama lagi untuk dihulurkan kepada golongan yang memerlukan di negara ini.
Oleh itu, orang ramai yang berhasrat untuk menghulurkan sebarang bantuan dan sumbangan bolehlah menghubungi talian 7146680 atau menghantar terus ke pejabat MKM di No. 9, Simpang 612-85, Kampung Sungai Hanching, Jalan Muara.