Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 APRIL – Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) turut menyemarakkan bulan Ramadan dengan mengadakan majlis khatam Al-Quran dan tadarus bersama klien MKM yang berlangsung di Masjid Sultan Sharif Ali Kampung Sengkurong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohd Tashim bin Pengiran Haji Hassan.
Majlis dimulakan dengan bacaan surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Awang Mohd Adib Syukri bin Haji Abu Bakar.
Majlis khatam Al-Quran yang disertai lebih 200 orang terdiri daripada ahli-ahli jawatankuasa tadbir tertinggi dan MKM itu turut menyaksikan penyampaian sumbangan wakaf berupa 50 sejadah bersandar bagi kegunaan masjid tersebut yang disampaikan oleh Yang Dipertua MKM, Awang Mohd Yusof Shaik Abdul Halim.
Selain itu, seramai 35 ketua keluarga yang terdiri daripada klien-klien MKM turut menerima sumbangan MKM sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang.
Objektif majlis tersebut antara lain untuk mengimarahkan aktiviti masjid sepanjang bulan Ramadan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, selain mengeratkan lagi ukhuwah dalam kalangan ahli dan klien MKM.