Oleh Sim Y. H. & Fadley Faisal
Gambar serahan MKM
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Sebagai usaha berterusan untuk memberikan sokongan kepada petugas-petugas barisan hadapan dalam menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini, Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM) telah menghulurkan bantuan barang keperluan bernilai $20,000 kepada petugas-petugas barisan hadapan daripada Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan Sukarelawan Belia, kelmarin.
Barang-barang keperluan yang disumbangkan berkenaan termasuk kot makmal pakai buang, apron pakai buang, sarung tangan, minuman dan makanan ringan.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Yang Dipertua MKM, Awang Mohd Yusof Shaik bin Abdul Halim kepada Presiden PBSM Brunei Darussalam, Haji Mohammad Suhaimi bin Haji Ibrahim.
Sementara itu, mewakili petugas barisan hadapan Sukarelawan Belia untuk menerima sumbangan berkenaan ialah Ketua Bahagian Perhubungan Sukarelawan Belia Airport Team (Alpha Tango), Awang Ahmad Nabil Fikri bin Haji Mahrub.
Dalam pada itu, hari ini, MKM juga telah menyampaikan sumbangan barang keperluan kepada Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAB), Tutong atas permintaan PBSM dan Sukarelawan Belia.
Sumbangan berupa mi segera, minuman, biskut, selipar dan penyangkut baju itu telah disampaikan oleh ahli Jawatankuasa Eksekutif MKM, Hajah Zaiton binti Salim kepada Dayang Julianah Sulaiman bagi pihak hospital berkenaan
Menyentuh mengenai sumbangan berkenaan, Awang Mohd Yusof berkata bahawa ia diharap akan menguatkan lagi semangat petugas-petugas barisan hadapan yang sama-sama berjuang menangani wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
MKM menyatakan bahawa ia telah menerima banyak permintaan daripada petugas barisan hadapan untuk mendapatkan sumbangan seperti apron, kot makmal, pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan, pensanitasi, beg plastik sampah, tong sampah, cecair pembersih, makanan tin, snek, minuman peket, pek minuman serta pemanjang gelung telinga.
Orang ramai boleh sama-sama berganding bahu dengan MKM dalam membantu wira-wira negara dengan menghulurkan derma seangkat hati melalui akaun BIBD MKM dan hantar deposit slip dengan mengatakan Covid fund melalui WhatsApp.