Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 MEI – Umpama mimpi jadi nyata, itulah yang dirasakan oleh salah seorang pelajar yang menerima sumbangan komputer riba daripada Majlis Kesejahteraan Masyarakat (MKM), kelmarin.
Dayang Siti Nor Fatiaah binti Zulkiflee yang merupakan pelajar kolej swasta meluahkan rasa penghargaan dan terima kasih kepada MKM kerana sebelum ini sukar baginya membuat kerja tanpa komputer lebih-lebih lagi dalam kursus yang diambilnya iaitu teknologi maklumat.
Empat komputer riba telah disumbangkan oleh MKM kepada pelajar yang memerlukan dan disampaikan pada majlis yang diadakan di Pejabat MKM, kelmarin.
Penyampaian sumbangan telah disempurnakan oleh Naib Presiden I MKM, Hajah Johana binti Haji Jaya yang menyatakan bahawa sumbangan berkenaan dapat direalisasikan melalui adanya sumbangan orang ramai.
Pelajar yang dipilih menerima sumbangan tersebut terdiri daripada kalangan warga MKM di mana salah satu kriteria pemilihan ialah pelajar mesti meneruskan pembelajaran pasca menengah.
Menurut Presiden MKM, Awang Yusof Halim, penutupan sekolah akibat pandemik COVID-19 menyebabkan peningkatan permintaan komputer riba secara mendadak apabila pembelajaran dari rumah atau secara dalam talian mula diperkenalkan.
“Kami percaya bahawa keperluan komputer riba ini akan berkurang apabila sekolah mula dibuka semula.
“Sebab itu, kami menumpukan kepada pelajar yang benar-benar memerlukan komputer riba walaupun selepas sekolah dibuka semula,” jelasnya.
MKM adalah persatuan amal yang berdaftar di negara ini dan bergantung sepenuhnya pada sumbangan orang ramai untuk melaksanakan berbagai projek amal.
