MKN Sabah hantar pulang 82 PATI warga Indonesia

TAWAU, 5 JUN – Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah hari ini, menghantar pulang 82 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia membabitkan 77 lelaki dan lima wanita, melalui jalan laut dari Pelabuhan Tawau ke Nunukan, Indonesia.

Pengarah MKN Sabah Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata tindakan itu membuktikan Malaysia komited memastikan semua tahanan PATI dapat kembali untuk menikmati dan menjalani kehidupan biasa di negara sendiri.

“Sehubungan itu kerajaan Malaysia juga berharap negara jiran memberi kerjasama untuk menerima warga negara masing-masing yang berada di sini, untuk dikembalikan …(termasuk) tahanan warganegara Filipina yang berada di semua PTS (Pusat Tahanan Sementara),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, MKN Sabah bersama-sama Jabatan Imigresen Malaysia menyelaras tanggungjawab dengan bantuan Jabatan Kesihatan Negeri  Sabah, Polis Diraja Malaysia dan pelbagai agensi lain untuk  melaksanakan operasi penghantaran pulang pendatang tanpa izin ke negara asal. – Bernama