NEW YORK, 8 OKT – Lebih 11 juta peminat membanjiri perlawanan Major League Soccer (MLS) musim ini, menurut liga itu semalam, memecah rekod terdahulu 10.9 juta peminat yang menghadiri perlawanan pada 2024.
Menurut MLS dalam satu kenyataan, liga itu mempunyai purata 23,240 peminat bagi satu perlawanan, memecah rekod 11 juta peminat buat kali pertama dalam sejarah.
MLS berkata, kehadiran bintang antarabangsa seperti Lionel Messi – yang mana penampilannya dalam liga itu sering kali menyebabkan pasukan berpindah ke stadium lebih besar – membantu meningkatkan jumlah penonton.
“Kehadiran bintang antarabangsa dan kerja keras kelab untuk memperkenalkan pakej tiket mesra peminat dan pengalaman hari perlawanan antara kunci utama meningkatkan jumlah penonton dalam MLS,” umum liga itu.
Rekod baharu itu hadir dengan musim biasa masih belum berakhir.
Sebanyak 16 lagi perlawanan akan dilangsungkan sebelum musim melabuh tirai pada 19 Oktober ini. Ia musim ketiga berturut-turut MLS menarik minat lebih 10 juta penonton. – AFP