Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (AIPA) CAUCUS ke-15 yang akan diadakan pada 11 dan 12 Jun nanti di The Empire Brunei.
Perasmiannya akan disempurnakan oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini, mesyuarat itu akan dihadiri oleh delegasi dari negara-negara anggota AIPA dengan agenda utama adalah membincangkan status pelaksanaan resolusi yang telah diluluskan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-44 di Jakarta, Indonesia pada tahun lalu.
Kepentingan pelaksanaan resolusi tersebut adalah untuk memastikan bahawa keputusan dan cadangan yang telah dipersetujui dapat diterjemahkan kepada tindakan konkrit, yang memberikan manfaat kepada semua negara anggota ASEAN.
Ahli-ahli parlimen memainkan peranan penting dalam bekerjasama rapat dengan kerajaan masing-masing ke arah merealisasikan matlamat yang telah dipersetujui bersama.
Mereka juga berperanan membantu dalam pemantauan pelaksanaan dasar-dasar yang diluluskan dan merupakan penghubung utama antara rakyat dan kerajaan.
Sebagai tuan rumah kepada Mesyuarat AIPA CAUCUS ke-15, Negara Brunei Darussalam juga akan menumpukan perhatian kepada topik tematik iaitu Memperkukuh Daya Tahan Siber ASEAN melalui Kerjasama Parlimen: Ke Arah Masa D\epan Ekonomi Digital yang Selamat dan Rancak.


