KLANG, SELANGOR, 9 MEI – Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri Mesyuarat Konsultatif Kedua Ahli Parlimen Muda Asean Inter-Parliamentary Assembly (AIPA) yang telah berlangsung di Klang, Selangor, Malaysia dari 5 hingga 8 Mei lalu.
Delegasi MMN diwakili oleh Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Chong Chin Yee dan Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan.
Mesyuarat konsultatif tersebut dirasmikan oleh Yang Di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia selaku Presiden AIPA, Tan Sri Dato’ Dr Johari bin Abdul dan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Dewan Rakyat Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah.
Dengan tema Ensuring ASEAN’s Future: Youth in Action for Sustainability and Inclusivity, mesyuarat berkenaan menjadi landasan bagi ahli-ahli parlimen muda untuk mengukuhkan peranan para belia dalam mencorak masa depan ASEAN.
Sepanjang mesyuarat tersebut, Ahli-ahli MMN berpeluang untuk menghadiri dua sesi dialog bertemakan Advancing Sustainability – Empowering ASEAN Youth Voices dan Building Inclusive ASEAN Youth by Leveraging the Digital Age, selain turut menyertai sesi plenari.
Sesi-sesi tersebut telah membuka ruang kepada delegasi dari lapan buah negara untuk mengetengahkan pelbagai inisatif rentas sektor dalam meningkatkan keterlibatan para belia antaranya dalam penggubalan dasar dan menangani cabaran global seperti perubahan iklim dan penyalahgunaan kecerdasan buatan (AI).
Majlis penutup mesyuarat disempurnakan dengan ucapan daripada Pengerusi Mesyuarat, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar bin Abdullah yang menekankan kepentingan kerjasama semua pihak untuk meningkatkan inklusitivi para belia dalam membentuk hala tuju ASEAN.
Hasil daripada perbincangan mesyuarat ini akan dibentangkan semasa Perhimpunan Agung AIPA ke-46 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur nanti, dengan fokus kepada agenda pembangunan belia di rantau ini.
