Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Perhimpunan 151st Assembly of the Inter-Parliamentary Union (IPU) di Geneva, Switzerland, Majlis Mesyuarat Negara telah diketuai oleh Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Turut menghadiri mesyuarat itu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara turut mengadakan beberapa Mesyuarat Dua Hala secara sampingan bersama rakan-rakan antara-parlimen.
Dalam siaran akhbar Jabatan MMN hari ini, Setiausaha Agung IPU, Tuan Yang Terutama Martin Chungong, telah mengalu-alukan penyertaan rasmi Majlis Mesyuarat Negara sebagai ahli ke-183 IPU.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-dua pihak membincangkan mengenai usaha untuk memperkukuh penglibatan Majlis Mesyuarat Negara dalam aktiviti IPU termasuk penyertaan dalam mesyuarat, program serta inisiatif yang berkaitan dengan pembangunan institusi parlimen.
Pertemuan tersebut turut menzahirkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan baik dan kerjasama dalam memajukan objektif IPU di peringkat global.


Sementara itu, Majlis Mesyuarat Negara juga berpeluang mengadakan mesyuarat dua hala bersama delegasi British Group Inter-Parliamentary Union yang terdiri daripada Ahli-Ahli Parlimen House of Commons dan House of Lords, United Kingdom untuk bertukar pandangan dan memahami dengan lebih dekat mengenai sistem perundangan serta amalan parlimen di kedua-dua buah negara.
Pertemuan ini menjadi wadah untuk memperkukuh persefahaman dan menjalin hubungan berasaskan dialog terbuka dan saling menghormati, di samping menegaskan komitmen terhadap usaha memperluaskan kerjasama antara-parlimen yang konstruktif dan berterusan.

