Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Malam Minggu Pusat Belia (MMPB) 2024, dengan tema Sung Dai Li Tutong malam kelmarin telah mencipta acara yang penuh inspirasi dan bersemangat sehingga menarik minat ramai pengunjung ke perkarangan Dais Diraja dan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada acara yang dianjurkan oleh ahli MMPB dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong dan Jabatan Belia dan Sukan Cawangan Daerah Tutong itu ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Antara yang turut hadir bagi sama-sama menyaksikan kemeriahan acara berkenaan ialah Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Hajah Umi Kalthum binti Haji Abdul Karim, ketua-ketua jabatan kerajaan, penghulu mukim dan ketua kampung di Daerah Tutong.
MMPB yang buat julung kalinya menganjurkan acara di Daerah Tutong itu bukan sekadar hiburan tetapi juga platform bagi belia negara untuk menonjolkan kreativiti dan keupayaan dalam seni, sukan, hiburan dan keusahawanan.
Di samping itu, pelaksanaannya juga dihasratkan untuk memberikan pentas baharu kepada golongan belia tempatan memberi impak kepada masyarakat.
Menurut Timbalan Presiden MMPB, Dayang Aeta Naqiah yang juga selaku pengerusi bersama bagi acara berkenaan, meskipun acara kali itu dihadapi dengan penuh cabaran dari segi lokasi terbuka, pencahayaan yang terhad, dan cuaca tidak menentu, ia tetap tidak mematahkan semangat tinggi dan komitmen penganjur muda untuk memastikan acara ini berjalan lancar.
“Kami bukan sekadar menganjurkan acara, tetapi mencipta platform perubahan untuk belia negara. Sambutan yang diterima sangat memberangsangkan dan menjadi bukti bahawa impian belia untuk menyumbang kepada negara semakin nyata,” katanya.
Antara aktiviti yang menarik perhatian para pengunjung ialah senam pound yang berjaya mengumpulkan lebih 70 orang peserta, senam tabata, aerobik dan permainan Beyblade.
Terdapat juga latihan akar umbi daripada BeeChamp FC dan pameran reptilia yang menghiburkan pelbagai peringkat umur.
Satu lagi daya tarikan utama ialah pembelajaran pertolongan cemas menggunakan teknologi VR oleh MAED dan rakan kongsinya, Rumine, yang memberikan peluang kepada pengunjung untuk mempelajari kemahiran keselamatan secara realistik dan interaktif.
Selain itu, Creative Entertainment menghubungkan para belia dengan artis tempatan, manakala Creative Arts menampilkan pelukis muda berbakat berumur 12 tahun ke atas yang mempamerkan karya seni mereka sendiri.
Pelbagai pameran kesedaran keselamatan daripada PEMODA, persembahan oleh kumpulan penggiat sukan papan selaju Daerah Tutong, dan demonstrasi bone setting oleh belia tempatan menambahkan lagi kepelbagaian acara.
Penyertaan dari Radio Televisyen Brunei (RTB) melalui program Brunei Siuk turut membantu mempromosikan dan memperkukuhkan kehadiran acara ini dalam kalangan masyarakat.
Acara turut disokong oleh rakan strategik seperti Kolej Cosmopolitan dan Makan Ceria Sdn Bhd dan Pasukan VFast bertindak selaku pasukan keselamatan dan kecemasan semasa acara ini diadakan.
Dengan kejayaan acara malam itu telah mencerminkan tekad kolektif dan usaha sukarelawan belia untuk memacu perubahan yang positif dan memberi sumbangan yang bermakna kepada Wawasan Negara.
MMPB terus menjadi ruang untuk para belia meneroka, mencipta, dan menyumbang ke arah negara yang lebih baik, Ia juga diharap agar semangat sedemikian akan terus berkembang untuk sama-sama memberi peluang lebih besar kepada golongan belia dalam membangun negara ke arah masa depan yang lebih cerah.