Oleh Salawati Haji Yahya –
TEMBURONG, 2 APRIL – Malam Minggu Pusat Belia (MMPB), baru-baru ini, telah mengadakan Program Menyantuni Warga Emas di Kampung Negalang, Temburong sebagai sebahagian daripada Projek Ramadan, Sejenak Bersama selama Terasa.
Projek berkenaan merupakan projek kedua MMPB bersempena bulan Ramadan yang mana tahun lepas projek tersebut pernah diadakan di Penanjong, Tutong.
Kali ini, projek telah melibatkan ahli-ahli sukarelawan MMPB dan 11 orang dari Syarikat Makan Ceria Sdn Bhd bersama orang persendirian.
Menerusi projek itu, ahli-ahli membersihkan kawasan dalaman dan luaran rumah serta memperbaiki rumah warga emas
Selain itu, mereka juga menerima sumbangan daripada orang ramai dan syarikat swasta seperti Eksklusif Media, Dcon Sdn Bhd, Urban Market, ahli sukarelawan MMPB dan orang persendirian yang menyumbangkan derma melalui Projek Foodbank menerusi kerjasama Kampung Katok B dan MMPB.
Projek berkenaan akan terus dilaksanakan pada tahun seterusnya bersempena bulan Ramadan.
Bagi Syarikat Makan Ceria, ia merupakan kali pertama mereka bekerjasama dengan MMPB dalam Program Menyantuni Warga Emas.
Selain mengungkayahkan projek berkenaan, MMPB juga akan mengadakan Majlis Tahlil dan Bersungkai MMPB bersama Persatuan ABLE pada 5 April.



