Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    MMPB selesai misi kemanusiaan di Manila

    MANILA, 20 OGOS – Malam Misi Platform Belia (MMPB), dahulunya dikenali sebagai Malam Minggu Pusat Belia, telah berjaya menamatkan Misi Kemanusiaan Metro Manila 2025 bersempena Hari Kemanusiaan Sedunia.

    Menurut kenyataan, misi yang menghimpunkan seramai 19 sukarelawan belia dari Brunei dan Filipina itu telah memberi manfaat kepada lebih 360 pelajar di Markaz At-Tarbawi, Culiat Madrasah dan Madrasah Tahfidul Quran.

    Aktiviti merangkumi khidmat gunting rambut percuma, kesedaran pertolongan cemas dan balutan luka, klinik bola sepak akar umbi, permainan membina pasukan, origami serta bengkel kreatif.

    Di samping itu, acara turut diserikan dengan pengagihan barangan sumbangan daripada FABD, Printmartz, Sukarelawan Filipina MMPB, YAKIN, Hitune, Teabox, Guerrilla Architect dengan Victory Athlete (VA) sebagai penyedia rasmi pakaian untuk para sukarelawan sepanjang misi.

    MMPB turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Ulama Filipina (PUCCOI) atas kerjasama mereka, Kedutaan Republik Filipina di Brunei Darussalam yang diwakili oleh Naib Konsul, Jacqueline Ong atas sokongan semasa pelepasan rasmi serta Kedutaan Brunei Darussalam di Manila, di mana Puan Yang Terutama Megawati binti Dato Paduka Haji Manan telah menganjurkan jamuan tengah hari bagi meraikan delegasi.

    Ketua delegasi, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd Salleh menegaskan misi itu mencerminkan visi belia Brunei sebagai belia berwawasan.

    “Dengan mengibarkan bendera negara di luar tanah air dan berkhidmat bersama rakan belia di Filipina, kami menzahirkan belia ASEAN bersatu, tabah dan komited membina masa depan yang lebih baik bersama,” kata beliau.

    Ketua delegasi bergambar semasa Misi Kemanusiaan Metro Manila. – GAMBAR SERAHAN MMPB
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda