Oleh Daniel Lim
BELAIT, 8 MEI – Seramai 60 pegawai dan kakitangan di Mahkota Maju Sdn Bhd (MMSB) mempelajari kesan buruk rasuah apabila menyertai sebahagian daripada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), MMSB yang diadakan di pusat latihan MMSB di Kawasan Perindustrian Sungai Bera, Seria kelmarin.
Program yang diisi dengan ceramah oleh jemputan dari Biro Pencegah Rasuah, dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran di kalangan kakitangan mereka tentang kesan buruk rasuah dan menggalakkan ketelusan dalam masyarakat.
Pengarah Urusan MMSB, Md Yusof Hj Bagol, dalam ucapan alu-aluannya menekankan beberapa perkara penting daripada Dasar Syarikat MMSB, termasuk memupuk dan mengukuhkan budaya kerja yang berteraskan kejujuran dan kelakuan beretika.
Selain itu, beliau berharap ceramah tersebut dapat membantu peserta untuk lebih memahami kesan buruk rasuah dan bagaimana mereka boleh mencegahnya dengan menggalakkan sikap bertanggungjawab memastikan persekitaran kerja bebas daripada amalan tidak beretika berkenan.
“Rasuah, dalam apa jua bentuk, hanya membawa kepada kelemahan dan ketidakpercayaan. Namun, jika kita memupuk kesedaran, tanggungjawab, dan keazaman untuk bertindak, kita boleh membina budaya kerja yang lebih bersih dan beretika,” tambahnya.
Ucapan pembukaan daripada Pengurus Sumber Manusia MMSB, Diane Izzati, juga berkata, “Kami berharap untuk membawa program ini ke skala yang lebih besar pada masa akan datang dengan mendekati lebih ramai orang dan memberi impak yang lebih besar sebagai sebahagian daripada usaha kami untuk memberi kembali kepada masyarakat dan membuat perubahan.”
Antara acara lain ialah pembentangan daripada Pegawai Siasatan Khas Bahagian Pencegahan Rasuah, Biro Pencegah Rasuah, Edayantie bt Hj Abd Hamid, yang mendidik peserta supaya lebih memahami kesan dan akibat perbuatan rasuah.
Semua di atas: Antara suasana semasa ceramah berkenaan.
