Monday, November 25, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MoA kukuh usaha bina bahan mesra alam

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Heidelberg Materials Butra Sdn Bhd telah memeterai Memorandum Perjanjian (MoA) untuk bersama-sama melaksanakan sebuah projek penyelidikan menyiasat ciri menambah kekuatan Simen Komposit Portland (PCC).

    Inisiatif itu bermatlamat untuk meneroka PCC sebagai sebuah alternatif mampan kepada Simen Portland Ordinari (OPC), mengukuhkan usaha ke arah bahan pembinaan mesra alam.

    Sehubungan dengan itu, Majlis Penandatangan MoA antara UTB dan Heidelberg Materials Butra diadakan di Bangunan Pearl, UTB, kelmarin.

    Pada majlis itu, Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar dalam kata alu-aluannya menyatakan kerjasama dengan Heidelberg Materials Butra telah berubah daripada penempatan pelajar kepada sebuah kolaborasi penyelidikan komprehensif yang mempamerkan kuasa sinergi industri-akademia.

    Menerusi MoA itu, tambahnya, mereka bukan sahaja memformalkan kerjasama tetapi juga menubuhkan sebuah rangka kerja bagi inovasi mampan dalam industri pembinaan Brunei.

    Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa dan Dexter Badilles semasa menandatangani MoA dengan disaksikan oleh Dr Mohamad Saiful. – GAMBAR SERAHAN UTB
    GAMBAR SERAHAN UTB

    Beliau menyatakan kolaborasi pelbagai disiplin antara Jabatan Kejuruteraan Awam dan Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Petroleum, dibimbing oleh nilai-nilai utama UTB iaitu integriti, serba boleh dan ketabahan, mempamerkan komitmen kepada membangunkan penyelesaian peka alam sekitar yang secara langsung memberikan manfaat kepada rakyat dan menyumbang kepada matlamat pembangunan mampan negara.

    Majlis menyaksikan penandatangan MoA di mana mewakili UTB ialah Penolong Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr Mohamed Hasnain Isa dan disaksikan oleh Dayang Elizah binti Raden Mas Ismail serta mewakili Heidelberg Material Butra ialah Pengurus Loji, Dexter Badilles dan disaksikan oleh Pengurus Produksi, Dayang Nur Zafirah Erina binti Abdullah Seu @ Seu Hui Eing.

    MoA itu menggariskan rangka kerja komprehensif untuk kolaborasi antara UTB dan Heidelberg Materials Butra termasuk skop penyelidikan, pembangunan kapasiti, pertukaran ilmu pengetahuan dan matlamat kemampanan.

    Kolaborasi itu mempamerkan visi bersama kedua-dua belah pihak untuk memajukan kemampanan dalam sektor pembinaan. Dengan peningkatan permintaan global untuk penyelesaian mesra alam, inisiatif penyelidikan berkenaan bersedia untuk menyumbang secara signifikan kepada mengurangkan jejak alam sekitar produksi simen sambil menyokong pembangunan infrastruktur siaga masa depan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda