Oleh Hajib Sarhan –
Mochi ialah kuih tradisional Jepun yang terkenal dengan teksturnya yang lembut, kenyal dan sedikit manis. Selalunya dinikmati ketika sambutan Mochitsuki atau Tahun Baharu Jepun, mochi kini menjadi kegemaran ramai di seluruh dunia.
Dengan bahan asas tepung pulut dan santan, mochi yang gebu ini boleh diolah dengan pelbagai pewarna dan inti mengikut cita rasa.
CARA PENYEDIAAN:
Mula-mula, adun tepung pulut, tepung jagung, gula dan esen vanila dalam sebuah bekas besar. Tuangkan santan sedikit demi sedikit sambil digaul sehingga menjadi doh yang licin dan tidak berketul. Masukkan pewarna pilihan untuk memberi warna menarik pada mochi.
Setelah itu, pindahkan doh ke dalam loyang, kemudian kukus selama lebih kurang 20 minit sehingga doh masak sepenuhnya. Tanda doh sudah masak adalah apabila ia tidak lagi melekat pada jari.
Setelah sejuk, keluarkan doh dan bahagi-bahagikan kepada beberapa ketul sama besar.
Ambil setiap ketul, leperkan sedikit dan letakkan inti pilihan di tengah (seperti kacang merah, coklat atau kacang tanah tumbuk).
Bulatkan semula doh sehingga kemas, kemudian golekkan dalam tepung pulut yang telah disangai agar tidak melekat.
Biarkan seketika di dalam peti sejuk sebelum dihidangkan untuk mendapatkan rasa yang lebih enak dan tekstur kenyal sempurna.
BAHAN-BAHAN:
• 2 cawan tepung pulut
• 2 sudu besar tepung jagung
• ½ cawan gula
• 200 ml santan
• 1 sudu kecil esen vanila
• Pewarna makanan (pilihan)
• Sedikit tepung pulut disangai – untuk salutan
PILIHAN INTI:
• Pes kacang merah (anko, inti klasik Jepun)
• Coklat cair atau coklat blok kecil
• Mentega kacang (peanut butter)
• Pes kacang hijau
• Strawberi atau potongan buah segar
• Aiskrim (untuk mochi aiskrim, perlu dibekukan selepas dibentuk)
• Kacang tanah tumbuk bercampur gula







