Monday, March 17, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modal insan bercalak keBruneian

    Oleh Dr. Muhammad Hadi Muhammad Melayong

    Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Melayu Islam Beraja

     

    PADA umumnya pengamalan dan penghayatan nilai-nilai Melayu Islam Beraja (MIB) ini bukan sahaja dilaksanakan dalam jabatan-jabatan kerajaan dan kementerian bahkan melibatkan pihak swasta serta keseluruhan masyarakat dan penduduk Negara Brunei Darussalam sebagai tanda ketaatan kepada kepimpinan seorang raja yang menjadi Ulil-Amri di Negara Brunei Darussalam. Sebagaimana yang telah difirmankan oleh Allah Subhanahu Wa’Ta’ala dalam Al-Quran Surah Al-Nisaa ayat 59 yang bermaksud:

    Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.

    Oleh itu, sebagai bangsa Brunei adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan setiap individu yang bernaung di bawah panji-panji Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk mengamalkan dan menghayati nilai-nilai MIB yang menjadi teras kepada calak keBruneian.

    Sebagai orang Brunei yang benar-benar mengerti dan faham akan budaya dan adat istiadat bangsa Brunei tentulah tidak akan memalamkan atau mengampai-apaikan ataupun menyambaranakan setiap titah yang menjadi aturan dan undang-undang dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara khususnya yang berkaitan dengan MIB.

    Baginda Sultan memang tidak jemu-jemu telah mengingatkan rakyat dan penduduk negara ini untuk terus mengamalkan dan menghayati nilai-nilai MIB, dan setakat ini sudah hampir 49 titah telah dilafazkan sejak MIB dimasyhurkan secara rasmi pada 33 tahun yang lalu.

    MIB LOGO 2016 MFC

    Tetamu kehormat bergambar ramai dengan ahli JK penganjur Kolokium Peranan Masyarakat dalam Pembentukan Kejayaan Pelajar yang bertemakan Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja.
    Tetamu kehormat bergambar ramai dengan ahli JK penganjur Kolokium Peranan Masyarakat dalam Pembentukan Kejayaan Pelajar yang bertemakan Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja.

    Nilai-nilai MIB perlu diamalkan dan dihayati berterusan kerana setiap masyarakat senantiasa mengalami perubahan dan cabaran.

    Maka anggota masyarakat khususnya dari golongan generasi muda perlu diasuh dan dididik dengan calak keBruneian bagi memastikan kesinambungan kewujudan Negara Melayu Islam Beraja.

    Ini adalah menjadi tanggungjawab keseluruhan rakyat untuk sama-sama memikul tanggungjawab mendidik dan menyemai nilai-nilai MIB kepada setiap golongan generasi belia yang bakal mewarisi bangsa Brunei.

    Dalam hal ini, selaras dengan matlamat Wawasan Negara 2035 yang mahukan kemajuan dan pembangunan yang dicapai beracuankan nilai-nilai MIB maka kita perlu membentuk dan melahirkan modal insan yang bercalak keBruneian.

    Pembinaan modal insan yang tepat dan betul akan membantu sesebuah negara melahirkan masyarakat yang dapat memastikan kejayaan masa depan negara tersebut.

    Justeru, untuk membangunkan modal insan, kita perlu memberi ilmu pengetahuan yang secukupnya, bagi mengasuh mereka menjadi bangsa Brunei yang mempunyai budi pekerti dan budi bahasa yang mulia, berawar galat, berhemah tinggi, berjiwa besar, taat pada raja, agama dan negara serta mempunyai kekuatan jasmani, mental dan rohani yang kukuh.

    Bahkan insan Brunei itu mestilah menjadi rakyat yang memiliki semangat berjarih dan berkarih, berani, talatin, inovasi serta rajin berusaha di samping mengamalkan nilai budaya yang luhur, halus lagi bermutu tinggi.

    Dari segi keilmuan juga amat penting di era moden masa kini, sama ada kepandaian, kepintaran dan kepakaran dalam ilmu keduniaan dan juga akhirat. Ini semua adalah nilai-nilai yang perlu di miliki oleh modal insan untuk persediaan ke arah pencapaian Wawasan Negara 2035.

    Dalam erti kata yang lain modal insan ini benar-benar perlu memiliki dan mengamalkan calak keBruneian yang berteraskan nilai-nilai MIB.

    Dalam dunia era globalisasi masa kini, kita perlu mempunyai generasi muda yang memiliki nilai-nilai keBruneian yang kukuh sebagai benteng pertahanan dalam menghadapi segala cabaran yang rintangan.

    Dalam hal ini, generasi muda yang dimaksudkan mestilah mempunyai ciri-ciri model insan yang positif untuk memastikan kesinambungan calak keBruneian diamalkan dan dihayati sebagaimana titah Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Menyambut Perayaan Ulang Tahun ke 24 Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam pada 23 Februari 2008:

    “Ejen pembawa  perubahan, seperti institusi keluarga, institusi pendidikan dan dakwah. Media dan lain-lain, perlu melihat perkara ini dengan keinsafan yang mendalam, supaya kita dapat sama-sama fokus bagaimana mengubat dan sekali gus melahirkan modal insan yang berkualiti. “

    Makanya modal insan yang kita inginkan adalah modal insan yang menjadi aset penting dalam pembangunan dan kesinambungan ketamadunan sesebuah negara.

    Kita maklum bahawa modal insan yang dimaksudkan adalah terdiri daripada golongan pelajar, mahasiswa dan belia yang keintelektualan dalam menjayakan rencana pembangunan negara ini.

    Pembangunan modal insan akan dilaksanakan secara holistik merangkumi pemerolehan pengetahuan dan kemahiran atau modal intelek termasuk keupayaan keusahawanan dan pengetahuan sains dan teknologi serta memiliki sikap, nilai dan etika positif serta progresif melalui pendidikan, latihan pembelajaran sepanjang hayat.

    Dengan itu golongan muda inilah yang menjadi modal insan tersebut sebagai pelapis dan pewaris tampuk pemerintahan Negara Brunei Darussalam.

    Dalam dunia era globalisasi masa kini kita perlu mempunyai generasi muda yang memiliki nilai-nilai keBruneian yang kukuh sebagai sandaran untuk mengharungi segala cabaran yang rintangan.

    Dalam hal ini, generasi muda masa kini perlu mempunyai ciri-ciri model insan yang positif untuk memastikan kesinambungan calak keBruneian diamalkan dan dihayati. Justeru, pembangunan modal insan boleh difahami sebagai usaha untuk membangunkan keupayaan yang dimiliki oleh manusia itu sendiri.

    Secara umumnya, modal insan ini dilihat tidak sekadar mementingkan aspek pembangunan intelektual dan emosional bahkan melibatkan pembangunan spiritual dan keagamaan.

    Fokus utama kita akan diberikan kepada galakan dan usaha membina serta membangunkan modal insan yang bersifat holistik, lengkap dengan pengetahuan dan kemahiran serta mempunyai nilai moral dan etika yang teguh.

    Modal insan tidak seharusnya dilihat dari sudut latihan, kemahiran, kepakaran, profesional, kelebihan maklumat dan sebagainya malah wajib mempunyai ciri-ciri pembangunan ke atas insan yang menerapkan sifat-sifat amanah, jujur, beragama, berbudaya yang berakhlak mulia, progresif, cergas, bertamadun dan sebagainya.

    Keperluan dunia semata-mata tidak akan memberi kelebihan ke atas pembangunan modal insan kerana tujuan penciptaan manusia ialah jelas seperti maksud Surah Az-Zariyat ayat 56; “Tidaklah aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepadaKu”.

    Dengan hal itu, pembangunan insan yang sebenarnya adalah berteras MIB yang mana ugama Islam adalah menjadi tunggak utama sebagai pegangan dan panduan untuk kejayaan hidup dunia dan akhirat.

    Hasil akhir yang cemerlang adalah tunggak utama pembangunan modal insan dalam Islam; kerana Islam telah menyediakan satu sistem hidup yang lengkap dari mula lahir hinggalah ke akhir hayat.

    Konsep pembangunan sumber manusia dalam Islam adalah proses menyeluruh untuk membentuk insan yang sempurna. Manusia yang lahir kelak akan menerima janji daripada Tuhannya iaitu;

    Jika sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan keberkatan dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka Kami seksa mereka disebabkan perbuatannya. (Surah Al-A’raf, ayat 96).

    Modal insan yang diketengahkan oleh Islam bukan hanya melahirkan individu yang pakar, mahir ataupun profesional dalam bidang masing-masing tetapi penuh dengan nilai-nilai positif seperti amanah, jujur, taat dan sebagainya.

    Pembentukan nilai-nilai ini tidak sekadar memenuhi kehendak organisasi malah untuk masyarakat dan negara bersandarkan ajaran Islam.

    Sehubungan dengan ini, Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi Tinggi Melayu Islam Beraja senantiasa memberi kerjasama kepada semua pihak dalam usaha untuk menyebarkan dan mengukuhkan lagi kefahaman dan pengamalan nilai-nilai MIB dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara di bumi Brunei Darussalam.

    Dalam hal ini, Pejabat Sekretatriat MTMIB amat menghargai atas usaha murni Persatuan-persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja (SM PDSM) dan Sekolah Menengah Sultan Muhammad Jamalul Alam (SM SMJA), yang telah mengadakan Kolokium Peranan Masyarakat dalam Pembentukan Kejayaan Pelajar yang membawa tema ‘Generasi Berwawasan Berteraskan Melayu Islam Beraja’ pada awal tahun ini.

    Program ini adalah julung-julung kalinya diadakan di negara ini. Insyaa Allah program ini akan dapat melahirkan dan meningkatkan lagi disiplin, serta pencapaian akademik di kalangan para pelajar kita dalam melahirkan modal insan bercalak keBruneian.

    Ini juga adalah satu lagi cara atau pendekatan dalam proses pembelajaran dan pengajaran formal atau tidak formal dalam membentuk golongan pelajar supaya mempunyai sikap atau sifat bertanggungjawab, amanah, berintegriti, jujur, taat, komited, rajin, menghormati orang tua dan guru serta mempunyai semangat kebangsaan yang kukuh bersandarkan nilai-nilai keBruneian.

    Kualiti yang terdapat dalam nilai-nilai MIB inilah yang sepatutnya perlu dimiliki dan dicontohi oleh para belia di negara ini dalam usaha kita melahirkan Modal Insan bercalak keBruneian.

    Kerjasama seperti ini amat dialu-alukan oleh Pejabat Sekretariat MTMIB dalam menjalankan apa juga program untuk kepentingan negara rakyat dan penduduk negara ini dalam sama-sama menanai tugas dan tanggungjawab untuk menanam dan menyemaikan nilai-nilai murni MIB dalam usaha kita sama-sama menanai tanggungjawab untuk mencapai Wawasan Negara 2035 bagi kelangsungan ketamadunan Bangsa Brunei.

    Sehubungan dengan ini, adalah menjadi satu kemestian bagi rakyat dan penduduk di negara ini, terutamanya generasi muda khususnya para pelajar yang merupakan sebagai generasi pewaris untuk difahamkan dan diasuh dengan mendalami lagi mengenai nilai-nilai MIB yang menjadi paksi kehidupan bermasyarakat dan bernegara bagi melahirkan kehidupan aman damai di bawah kepimpinan seorang raja yang dicintai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda