Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Sept – QAF Eurokars, di bawah QAF Auto bukan sahaja pengedar tunggal kenderaan Porsche di negara ini, malah ia juga bertanggungjawab menyelenggarakan kereta-kereta klasik Porsche yang masih lagi berfungsi dengan baik.
Sehubungan dengan itu, Timbalan Pengurus QAF Eurokars, Lahiru de Silva hari ini menyerahkan sebuah Porsche klasik model 911 Carrera Cabriolet 1995 milik Awang Mohammad bin Awang Damit yang sudah pun siap diselenggarakan di Pusat Porsche Brunei di Beribi, pagi tadi.
Menurut Awang Mohammad, beliau memperoleh kereta itu dua tahun yang lalu dengan kondisi yang baik, walau bagaimanapun, ia perlu menjalani beberapa pembaikan untuk kegunaan dalam tempoh yang panjang, tambahan lagi ia merupakan satu pelaburan baik, selain beliau amat menghargai kereta klasik. “Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan penyelenggaraan yang disediakan oleh Pusat Porsche Brunei,” tambahnya.
Lahiru de Silva menjelaskan pihaknya sentiasa berdedikasi menyokong penyelenggaraan jangka panjang model-model klasik, bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik.
Sepanjang tempoh tiga bulan, Pusat Porsche Brunei berjaya membaik pulih enjin menggunakan alat-alat klasik Porsche yang tulen dan kepakaran dari kakitangan QAF Eurokars.
Katanya, bagi memastikan kepercayaan pelanggan, QAF Eurokars memberi jaminan dua tahun dalam jarak perbatuan tanpa had sebagai konsesi khas kepada pemiliknya, pelanggan juga diberi pek hadiah cenderamata Porsche Driver’s Selection dan perkhidmatan lainnya secara percuma.