Wednesday, January 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Model lego kurangkan ketakutan kanak-kanak jalani MRI

    BEIJING – Hospital Kanak-kanak Beijing telah memperkenalkan cara kreatif untuk membantu pesakit muda yang bersedia menjalani imbasan pengimejan resonans magnetik (MRI) yang mengambil masa lama dan sering menimbulkan tekanan dengan menggunakan model pengimbas MRI Lego untuk mensimulasikan keseluruhan proses, menjadikan ia menyeronokkan dan kurang menakutkan untuk kanak-kanak.

    Model berkenaan mereplikakan persekitaran pemeriksaan MRI dengan tepat, termasuk bilik menunggu, bilik persediaan, bilik operasi dan pengimbas MRI.

    Dibimbing oleh kakitangan hospital, pesakit-pesakit muda boleh belajar tentang proses itu, dengan set yang menampilkan patung kecil yang mewakili pesakit, keluarga mereka dan profesional-profesional perubatan.

    Menjalani pemeriksaan MRI, yang biasanya melibatkan kira-kira setengah jam imbasan dan bunyi yang mengganggu, boleh menjadi pengalaman yang mencabar dan menakutkan bagi kebanyakan kanak-kanak.

    “Nampaknya ujian MRI tidaklah seram. Ia seperti permainan, bukan?” kata seorang gadis bernama Liu, yang sedang menunggu untuk menjalani pemeriksaan MRI pertamanya.

    Gambar Unsplash

    Satu inisiatif amal oleh jenama mainan global, LEGO Group dan kumpulan dermawan kanak-kanak domestik, Ai You Foundation, program Pengimbas MRI LEGO telah menyumbangkan kit model pengimbas LEGO MRI berserta bahan-bahan latihan kepada hospital-hospital di seluruh China.

    Setakat ini, lebih 1,600 set model pengimbas MRI LEGO telah didermakan kepada 108 buah hospital di 67 bandar dan daerah di seluruh negara, menurut Yolanda Gu, pengarah tanggungjawab sosial LEGO China.

    Selain model-model LEGO, Hospital Kanak-kanak Beijing telah memperkenalkan permainan simulasi mudah alih di jabatan onkologi pembedahannya. Permainan berkenaan membolehkan pesakit muda membiasakan diri dengan proses rawatan dan persekitaran melalui mainan peranan yang melibatkan watak beruang pelangi.

    Menurut Ma Wei, Pengarah Jabatan Kerja Sosial Hospital Kanak-kanak Beijing, mainan berkenaan membantu melegakan kebimbangan pesakit muda dan juga memberikan kelegaan tekanan untuk orang dewasa, termasuk ibu bapa dan doktor.

    Banyak hospital di seluruh China telah bekerjasama dengan organisasi-organisasi amal dan kumpulan sukarelawan untuk menjadikan lawatan hospital dan penginapan kurang tertekan dan menakutkan bagi kanak-kanak.

    Yayasan Ai You melancarkan projek perkhidmatan perubatan kemanusiaan untuk kanak-kanak, yang telah bekerja dengan 16 hospital di 13 bandar pada akhir 2023 untuk membantu kanak-kanak melalui proses rawatan menerusi permainan dan aktiviti main
    peranan, menurut Luan Yibin, setiausaha agung eksekutif yayasan amal berkenaan.

    Di pinggir bandar Tongzhou di timur Beijing, hospital kanak-kanak yang bergabung dengan Institut Pediatrik Ibu Kota merancang untuk membina cawangan baharu dengan penekanan pada keseronokan.

    Ia akan menampilkan lukisan dan arca bertemakan haiwan, serta kemudahan interaktif dan ruang yang mengasyikkan, untuk mewujudkan suasana yang menyeronokkan seperti taman permainan.

    “Bagi kanak-kanak, hospital harus seperti taman permainan, bukan sahaja dari segi reka bentuk tetapi juga dalam perkhidmatan,” kata Zhang Guojun, setiausaha jawatankuasa parti Hospital Kanak-kanak Beijing. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda