Kalau masih single, selagi itulah orang akan kaitkan mengenai pasangan hidup.
Begitulah pelawak Malaysia iaitu Zizan. Kali ini dia dikaitkan berkawan rapat dengan seorang pempengaruh cantik manis yang kerap menjadi model pakaian muslimah.
Difahamkan, hubungan Zizan dengan wanita yang dikenali sebagai Nureen itu sudah berjalan kira-kira dua tahun.
Mereka juga dikatakan kerap meluangkan masa bersama dan pernah menghadiri beberapa acara berdua.
Walaupun tidak pernah berkongsi gambar mereka secara terbuka, namun menerusi beberapa perkongsian di laman sosial, kedua-dua mereka ada bersama dalam beberapa acara yang turut disertai rakan-rakan lain.
Menerusi pemerhatian mStar, Zizan juga merupakan salah seorang pengikut Nureen di laman Instagram.
Berdasarkan status di Instagram, Nureen merupakan seorang pempengaruh media sosial yang mempunyai 11,000 pengikut.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak yang sudah mencecah usia 40 tahun dalam beberapa temu bual sebelum ini mengakui sudah bersedia untuk berkahwin namun masih belum bertemu dengan wanita sesuai untuk dijadikan sebagai suri hatinya.
Dalam masa sama pelawak itu juga sering kali dikaitkan rapat dengan rakan selebriti lain namun hubungan tersebut tidak kekal lama.
Sementara itu, Zizan ketika dihubungi mStar untuk mengesahkan perkara itu mengambil pendekatan selamat untuk tidak memberikan sebarang komen.
Sebaliknya, dia perlu merujuk dengan pihak pengurusannya sebelum mengulas mengenainya. – Agensi