Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Moden, kreatif, rasa tersendiri

    Oleh Daisuke Inoue –

    TOKYO – Bebola nasi pulut Ohagi yang disalut dengan pes kacang manis telah menarik perhatian ramai orang kerana bentuk dan warnanya yang canggih serta rasa yang tersendiri. Saya melawat kedai yang menjual ohagi buatan tangan yang direka secara kreatif.

    Takeno ke Ohagi di wilayah Setagaya, Tokyo, menjual lima jenis ohagi secara bergilir-gilir setiap hari, selain daripada jenis biasa yang menampilkan pes kacang manis koshian halus dan pes kacang manis tsubuan yang kasar. “Saya mahu pelanggan menikmati sebanyak mungkin perisa,” kata Hiroki Ogawa, wakil kedai itu.

    Perkara pertama yang menarik perhatian saya ialah ohagi yang dibuat dengan anggur Shine Muscat dan lada sitrus yuzu. Anggur itu disalut dengan lapisan nipis beras mochi yang dibalut dengan pes kacang putih yang bercampur dengan lada sitrus yuzu. Jus anggur merembes keluar sebaik sahaja saya menggigitnya, dan rasa pedas lada sitrus yuzu melengkapi pes kacang. Rasanya menyegarkan dan masih terasa di lidah untuk masa yang lama.

    Satu lagi keindahan kreatif ialah ohagi yang kelihatan lebih seperti bunga mawar daripada bebola nasi. ‘Kelopak’nya diperbuat daripada pes kacang putih yang dicampurkan dengan puri beri biru, menghasilkan lapisan warna ungu dan putih yang cantik. Pisang kering yang dicincang halus di bawah pes kacang menyumbang penampilan yang menarik pada teksturnya.

    Kelopaknya dibuat dengan memasukkan inti kacang manis ke dalam beg pastri dan kemudian menyalurkannya ke nasi mochi yang digulung menjadi bebola.

    Ohagi dalam pelbagai bentuk dan warna, setiap satunya dengan rasa tersendiri. – Yomiuri Shimbun
    Ohagi dengan buah ara dan terung. – Yomiuri Shimbun
    Ohagi yang ditempah khas menandakan musim luruh. – Yomiuri Shimbun
    Ohagi rempah labu. – Yomiuri Shimbun

    Menurut kedai itu, mereka mengetuk hujung paip untuk menjadikannya lebih nipis dan menggunakan paip berbeza bergantung kepada pelbagai jenis ‘bunga’. Meletakkan pelbagai warna inti kacang dalam beg pastri yang sama membolehkan mereka mencipta pelbagai variasi.

    Pendekatan moden Ogawa terhadap ohagi bermula selepas melihat kek cawan yang dihias dari Amerika Syarikat. Beliau telah membuat lebih daripada 200 jenis ohagi dengan mengambil inspirasi daripada bunga bermusim dan menggunakan bahan bermusim.

    Kedai ohagi itu sungguh kreatif sehingga ada yang kelihatan melampaui batas kuih-muih, seperti satu di mana pekerja meletakkan terung bakar dengan pes miso manis. “Saya akan berasa gembira jika ohagi kami membantu pelanggan memahami setiap musim dan menikmati masa yang santai,” ujar Ogawa.

    Kedai itu juga menawarkan ohagi ditempah khas. Pelanggan boleh memilih elemen seperti bentuk dan warna berlainan, dengan bebola nasi yang telah siap disusun dalam kotak kayu. Pelanggan juga boleh meminta kedai membuat ohagi berdasarkan gambar atau kata kunci.

    “Kami boleh membuat ohagi yang menampilkan bunga dan warna pilihan awda. Ia juga merupakan hadiah yang menarik untuk orang yang awda sayangi,” kata Ogawa.

    OHAGI DENGAN REMPAH RATUS

    Ogawa berkongsi resipi ohagi rempah labu yang dapat menghasilkan 12 bebola nasi.

    Pertama, basuh 150 gram beras mochi dalam penapis dan toskan lebihan air. Masukkan beras dan 200 ml air ke dalam periuk nasi.

    Seterusnya, panaskan 80 gram labu tanpa kulit dan biji dalam ketuhar gelombang mikro pada 600 watt selama kira-kira dua minit.

    Masukkan labu yang telah dipanaskan ke dalam mangkuk dan tumbuk menjadi pes dengan sudip kayu atau sudu.

    Tambah 240 gram pes kacang manis putih yang tersedia secara komersial dan 20 gram kismis kering yang dicincang ke dalam pes labu dan gaulkan sedikit.

    Masukkan sedikit buah pala dan secubit biji jintan manis. Gaul rata sementara periksa rasa untuk membuat pes.

    Bahagikan nasi mochi yang telah dimasak kepada 12 bahagian yang sama. Gulungkan setiap bahagian menjadi bola, kemudian balut setiap bahagian dalam pes manis
    dan mengolahnya menjadi bentuk yang diingini.

    “Ohagi rasa segar dan manis disebabkan rempah ratus. Ia paling ideal untuk musim luruh jadi saya ingin ramai orang mencubanya,” kata Ogawa. – ANN/The JapanNews

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda