Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 November – Pasukan Kementerian Pembangunan (MODEV) berjaya menempah tiket ke perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017 selepas berjaya menewaskan Pasukan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan jaringan 2-0.
Kemenangan MODEV di Balapan dan Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu sekali gus mempertemukan mereka dengan Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA) di pentas final yang akan berlangsung pada 12 November ini di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.
Separuh masa pertama kedua-dua pasukan terikat seri tanpa jaringan dan MODEV berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-63 menerusi satu gerakan menarik Haji Hassan bin Haji Damit sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol JPM.
Gol itu kemudian merancakkan lagi perlawanan dengan menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan, namun dikecewakan oleh aksi cemerlang penjaga gol masing-masing.

Di saat-saat akhir perlawanan, Fakri Ismail memastikan kemenangan MODEV selepas menerima hantaran lambung sebelum melepaskan rembatan yang terbias terkena pertahanan JPM, menyebabkan penjaga gol tidak mampu berbuat apa-apa.
Keputusan itu menetapkan bahawa Pasukan JPM akan berhadapan dengan Pasukan Kementerian Pertahanan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat pada 11 November 2017 di Kompleks Sukan Berakas.
Sejurus selepas perlawanan, pengurus pasukan MODEV, Mohd Khairul Haji Bakar menyatakan rasa berbesar hati dengan kejayaan para pemain dalam separuh akhir kedua hari ini dan beliau turut berasa persiapan yang dibuat berbaloi.
Mengulas mengenai perlawanan akhir nanti, Pasukan MODEV akan cuba memberikan tentangan hebat kepada MOHA dan pastinya para pemain akan berusaha sedaya-upaya merampas kejuaraan daripada MOHA tahun ini.