Sunday, May 11, 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modi gesa firma Sepanyol melabur di India

    MADRID, 31 Mei – Perdana Menteri India, Narendra Modi hari ini menggesa firma-firma Sepanyol untuk membuat pelaburan di India, mengatakan negara cepat membangun itu menawarkan “banyak peluang” dalam sektor-sektor dari pelancongan ke sektor tenaga.

    “India sebuah negara besar dan ia menawarkan banyak peluang kepada firma-firma Sepanyol di semua sektor,” katanya dalam Bahasa Hindi apabila beliau tiba di kediaman rasmi Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy bagi beberapa rundingan di Madrid.

    “Saya menjemput firma-firma Sepanyol untuk turut serta dalam pembangunan kami,” tambahnya.

    Modi yang tiba di Sepanyol lewat semalam dari Jerman, perhentian pertamanya dalam lawatan ke empat negara Eropah, dijadualkan untuk bertemu Raja Felipe VI hari ini.

    Beliau juga akan mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua perniagaan Sepanyol sebagai sebahagian daripada dorongannya untuk menarik lebih banyak pelaburan asing di India, ekonomi utama paling pantas membangun di dunia.

    Narendra Modi ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Sepanyol Mariano Rajoy. - AFP
    Narendra Modi ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Sepanyol Mariano Rajoy. – AFP

    “Firma-firma Sepanyol merupakan pemimpin-pemimpin global dalam sektor-sektor yang sangat penting buat kami. Kami ingin menarik firma-firma pelancongan, infrastruktur, tenaga dan pertahanan,” ujar Modi dalam satu temu bual yang diterbitkan oleh harian niaga Sepanyol Expansion.

    Sepanyol merupakan rakan dagangan ketujuh terbesar India dalam Kesatuan Eropah.

    Dagangan dua hala bernilai 4.72 bilion euro (AS$5.27 bilion) dalam tahun 2016, peningkatan 8.5 peratus dari tahun sebelumnya di mana eksport-eksport Sepanyol membentuk hampir 1.26 bilion euro.

    Jumlah firma-firma Sepanyol yang beroperasi di India telah meningkat melebihi 230 ketika ini berbanding 70 sahaja dalam tahun 2008.

    “Hubungan-hubungan dua hala kami menjadi lebih sengit. Saya berharap kunjungan meningkatkan lagi hubungan di antara kedua-dua negara,” ujar Rajoy. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda