ACCRA, 3 JULAI – Perdana Menteri India Narendra Modi kelmarin telah menggariskan perancangan untuk mempererat hubungan antara negaranya dengan benua Afrika, ketika New Delhi semakin bersaing untuk memperkukuh kehadiran ekonomi di benua itu bersama China dan Rusia.
Dalam ucapan kepada Parlimen Ghana, Modi telah membincangkan sebuah projek kereta api utama yang dibuka di negara Afrika Barat itu tahun lalu, yang dibiayai oleh Bank Eksport-Import India.
Beliau turut menekankan perkembangan diplomatik, pembangunan dan penglibatan perniagaan India yang semakin meluas di Afrika.
“Lebih 200 projek di seluruh benua ini meningkatkan hubungan, infrastruktur dan keupayaan perindustrian,” kata Modi. Dari segi politik, beliau menyambut baik “penubuhan Persatuan Persahabatan Parlimen Ghana-India di parlimen anda”.

Lawatan Modi itu merupakan lawatan pertama oleh seorang pemimpin India ke Ghana dalam tempoh tiga dekad.
Dalam satu pertemuan pada Rabu, Modi dan Presiden Ghana John Mahama bersetuju untuk memperdalam hubungan dalam sektor keselamatan dan perlombongan.
Kelmarin, Modi turut menyeru peranan diplomatik global yang lebih besar buat India dan Afrika, sambil memberi amaran ‘susunan dunia yang terbentuk selepas Perang Dunia Kedua sedang berubah dengan pantas’.
Beliau turut menyatakan, Kesatuan Afrika kini telah diterima sebagai ahli tetap dalam kumpulan G20 ketika India memegang jawatan presiden bergilir organisasi itu.
Kemajuan terhadap cabaran global seperti perubahan iklim, diplomasi, ‘keganasan’ dan pandemik, menurut beliau, “tidak mungkin dicapai tanpa memberi suara kepada negara-negara di Selatan Global”. – AFP

