Monday, July 8, 2024
23 C
Brunei

    -

    Modi jumpa Putin minggu hadapan

    MOSCOW, 5 JULAI – Kremlin kelmarin berkata Perdana Menteri India, Narendra Modi akan melawat Rusia pada Isnin dan Selasa depan dan berbincang dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin.

    Lawatan itu pertama kali diumumkan oleh pegawai Rusia bulan lalu, tetapi tarikhnya tidak didedahkan sebelum ini.

    Rusia mempunyai hubungan yang kukuh dengan India sejak Perang Dingin dan kepentingan New Delhi sebagai rakan perdagangan utama Moscow telah berkembang sejak kebelakangan ini.

    Bagaimanapun, Modi pada Khamis tidak sertai sidang kemuncak kumpulan keselamatan yang diwujudkan oleh Moscow dan Beijing untuk menentang pakatan Barat.

    Modi menghantar menteri luarnya ke Pertubuhan Kerjasama Shanghai pada mesyuarat tahunannya di ibu negara Kazakhstan, Astana. Mesyuarat itu dihadiri oleh Putin dan Presiden China Xi Jinping.

    Laporan media India membuat spekulasi bahawa Modi yang dipilih semula baru-baru ini sibuk dengan sesi Parlimen minggu lalu.

    Kali terakhir Modi melawat Rusia pada 2019 untuk forum ekonomi di pelabuhan timur jauh Vladivostok. Kali terakhir dia pergi ke Moscow pada 2015. Putin kali terakhir bertemu dengan Modi pada September 2022 di sidang kemuncak SCO di Uzbekistan. Pada 2021, Putin juga pergi ke New Delhi dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin India itu.

    Pada awal 1990-an, Kesatuan Soviet adalah sumber kira-kira 70 peratus senjata tentera India, 80 peratus sistem tentera udara dan 85 peratus platform tentera lautnya.

    India juga telah membeli kapal pengangkut pesawat pertamanya, INS Vikramaditya, dari Rusia pada 2004. Kapal itu pernah berkhidmat di bekas Kesatuan Soviet dan kemudiannya dalam tentera laut Rusia.

    Dengan talian bekalan dari Rusia yang dilanda peperangan, India telah mengurangkan kebergantungannya pada senjata Rusia dan mempelbagaikan perolehan pertahanannya, membeli lebih banyak dari Amerika Syarikat, Israel, Perancis dan Itali. – AP

    Vladimir Putin (kanan) dan Narendra Modi bergambar di sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Bishkek, Kyrgyzstan pada Jun 2019. Modi akan bertemu Putin pada minggu hadapan. – AP

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua askar, enam suspek militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir

    NEW DELHI, 7 JULAI – Dua anggota tentera dan enam suspek militan terkorban dalam dua pertempuran berasingan di Kashmir yang ditadbir India, menurut polis, hari...