Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modi lancar projek kereta api

    NEW DELHI, 8 JUN — Perdana Menteri Narendra Modi pada Jumaat telah merasmikan salah satu projek kereta api yang akan menghubungkan lembah Kashmir ke dataran luas India menggunakan kereta api buat pertama kali.

    Dinamakan oleh Kereta Api India, yang dikendalikan kerajaan, sebagai salah satu landasan paling mencabar di dunia, laluan sepanjang 272 kilometer itu bermula di bandar Garnisun Udhampur di wilayah Jammu dan melalui bandar utama wilayah Kashmir.

    Laluan berakhir di Baramulla, sebuah bandar berhampiran garis kawalan tentera yang memisahkan kawasan Himalaya diantara India dan juga Pakistan.

    Laluan itu akan melalui 36 terowong dan lebih daripada 943 jambatan. Kerajaan India menganggarkan kos keseluruhan projek tersebut adalah sekitar AS$5 bilion.

    Antara tarikan utama projek itu ialah jambatan konkrit dan besi sepanjang 1,315 meter di atas Sungai Chenab yang menghubungkan dua gunung dengan lengkungan setinggi 359 meter dari permukaan air.

    Kereta Api India membandingkan ketinggian jambatan itu dengan Menara Eiffel di Paris yang mempunyai ketinggian sekitar 330 meter, sambil menyatakan struktur berkenaan direka untuk bertahan sehingga 120 tahun serta mampu menahan cuaca ekstrem, termasuk tiupan angin sehingga 260 kilometer sejam.

    Laluan itu dijangka akan memudahkan pergerakan bagi tentera India dan orang awam ke wilayah yang mengalami konflik, yang kini hanya dihubungkan melalui penerbangan dan jalan gunung yang mudah terjejas oleh tanah runtuh. – AP

    Tren Vande Bharat Express yang bakal dilancarkan oleh Narendra Modi di platform Srinagar, Kashmir pada 6 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda