Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modi rasmikan lapangan terbang antarabangsa kedua

    NEW DELHI, 9 OKT – Perdana Menteri India, Narendra Modi kelmarin merasmikan pembukaan lapangan terbang antarabangsa baharu, menandakan satu lagi langkah penting dalam pengembangan rangkaian penerbangan negara itu.
     
    Lapangan Terbang Antarabangsa Navi Mumbai yang dijangka beroperasi Disember ini akan menjadikan Mumbai sebagai satu-satunya hab metropolitan di India yang mempunyai dua lapangan terbang antarabangsa, sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, antara yang paling sibuk di negara itu. 
     
    Dibina oleh Kumpulan Adani dengan kos anggaran AS$2.2 bilion, projek mega itu memperkukuh usaha kerajaan India untuk memodenkan infrastruktur dan mengukuhkan ketersambungan udara apabila ekonominya berkembang dan perjalanan udara melonjak.
     
    Menurut data rasmi, jumlah lapangan terbang di India meningkat kepada 160 buah berbanding hanya 74 pada 2014. 
     
    “Ini mencerminkan sebuah negara yang sedang berkembang pesat,” kata Modi dalam ucapan perasmiannya.
     
    Lapangan terbang Navi Mumbai akan memulakan operasi dengan satu terminal, sementara tiga lagi terminal dirancang pada fasa seterusnya. Namun, wartawan yang membuat liputan perasmian tidak diberi akses penuh ke kawasan operasi pada hari berkenaan.
     
    Lapangan terbang baharu itu diunjurkan mampu menampung 20 juta penumpang setahun pada peringkat awal, dan meningkat kepada 90 juta penumpang dalam beberapa tahun akan datang, menurut kenyataan Kumpulan Adani.
     
    Menariknya, ia bakal menjadi lapangan terbang pertama di India yang dirancang untuk dihubungkan melalui teksi air sebagai tambahan kepada kereta api laju, metro bawah tanah, jalan raya dan lebuh raya utama. – AP 
     
    Timbalan Ketua Menteri Maharashtra, Eknath Shinde (kanan) menyampaikan replika pesawat vintaj kepada Narendra Modi (kiri) semasa majlis perasmian Lapangan Terbang Antarabangsa Navi Mumbai di Navi Mumbai, India pada 8 Oktober. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda