NEW DELHI, 11 NOV – Perdana Menteri India, Narendra Modi berlepas ke negara jiran Bhutan hari ini untuk merasmikan sebuah projek hidrokuasa gergasi bersama raja negara Himalaya itu, di mana elektrik merupakan eksport utamanya.
Bhutan yang berstatus karbon negatif secara agresif mempromosikan projek hidrokuasa, menjana pendapatan besar melalui penjualan elektrik kepada India, selain menggunakan kuasa murah tersebut untuk menjana perlombongan mata wang kripto.
Modi dan Raja Jigme Khesar Namgyel Wangchuck dijadualkan merasmikan projek hidrokuasa Punatsangchhu-II berkapasiti 1,020 megawatt, dibangunkan bersama India dan antara yang terbesar di Bhutan.
“Lawatan ini akan menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama tenaga kita,” kata Modi dalam kenyataan ketika berlepas dari New Delhi.
Bhutan yang kecil tetapi terletak secara strategik di antara dua kuasa besar, China dan India, dan mempunyai hubungan yang erat dengan kedua-duanya.

Modi berkata lawatan ini akan memperdalam hubungan kedua-dua negara dan kerjasama mereka merupakan ‘tonggak penting’ dasar ‘keutamaan jiran’ India.
India ialah rakan dagang utama Bhutan, menyumbang lebih 80 peratus perdagangan keseluruhan bernilai AS$1.78 bilion pada 2024-25, menurut Kementerian Perdagangan India.
Kedutaan Bhutan di New Delhi menyatakan bahawa hidrokuasa menyumbang hampir dua pertiga daripada jumlah eksportnya.
Eksport India ke Bhutan bernilai AS$1.3 bilion pada 2024-25, meliputi produk petroleum, besi dan keluli, bijirin serta telefon pintar. Bhutan pula mengeksport barangan bernilai AS$513 juta termasuk elektrik dan bahan binaan.
Pada September, New Delhi berkata ia akan membina laluan kereta api rentas sempadan pertama ke Bhutan.
Bhutan mengutamakan dasar Gross National Happiness berbanding pertumbuhan ekonomi tetapi pendekatan itu tidak membantu kerajaan menangani masalah pengangguran, memaksa ribuan anak muda meninggalkan negara. – AFP

