Friday, February 7, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modi seru reformasi Bank Dunia

    BENGALURU, 24 FEB – Perdana Menteri India, Narendra Modi, menyeru reformasi bagi badan pemberi pinjaman global seperti Bank Dunia pada mesyuarat Menteri Kewangan dan Ketua Bank Pusat G20 di Bengaluru hari ini.

    Mesyuarat dijangka memberi tumpuan kepada kesan negatif pandemik COVID yang berterusan dan peperangan di Ukraine, serta pelepasan hutang bagi negara-negara miskin yang terkesan akibat kenaikan harga makanan dan minyak.

    “Kepercayaan terhadap institusi kewangan antarabangsa telah tercalar. Ini sebahagiannya kerana mereka lambat dalam melakukan reformasi,” kata Modi melalui sidang video semasa mesyuarat dua hari itu bermula.

    “Walaupun jumlah penduduk dunia telah melepasi lapan bilion, kemajuan dalam mencapai matlamat pembangunan mampan nampaknya semakin perlahan. Kita perlu bekerja bersama untuk memperkukuhkan bank pembangunan multilateral dalam menghadapi cabaran global seperti perubahan iklim dan jumlah hutang yang tinggi,” katanya.

    Ucapan tersebut sejajar dengan seruan orang lain untuk Bank Dunia menambah pinjaman dan meluaskan tugasnya selain menangani kemiskinan, walaupun ia menimbulkan kebimbangan mungkin kehilangan pemeringkatan terbaiknya.

    Setiausaha Kewangan Amerika Syarikat, Janet Yellen, pada mesyuarat di Bengaluru itu menyatakan, ‘adalah penting untuk mereka mengintegrasikan kerja menangani cabaran global ke dalam misi asas mereka demi mengekalkan kemajuan dalam dasar ini.’

    Ketua Bank Dunia, David Malpass, pada awal bulan ini mengumumkan beliau akan meletak jawatan setahun lebih awal dan pada Khamis, Washington mencalonkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Mastercard berketurunan India, Ajay Banga, sebagai penggantinya.

    Belum jelas sama ada wakil yang hadir di Bengaluru akan berjaya mencapai kenyataan bersama, terutamanya kerana perbezaan pendapat mengenai peperangan di Ukraine. Tiga mesyuarat sebelum ini gagal untuk berbuat demikian. – AFP

    Janet Yellen semasa bercakap pada sidang media mesyuarat G20 di Bengaluru, India kelmarin. Tuan rumah mesyuarat, Perdana Menteri Narendra Modi menyeru reformasi bagi badan kewangan itu. –AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda