Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Modi ulangi pendirian India mengenai Palestin

    NEW DELHI, 20 OKT – Perdana Menteri Narendra Modi pada kelmarin bercakap dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dan menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa orang awam dalam letupan di sebuah hospital di Gaza baru-baru ini. Beliau juga mengulangi pendirian lama India dalam isu Israel-Palestin.

    ”Bercakap kepada Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas. Menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa orang awam di Hospital Al Ahli di Gaza. Kami akan terus menghantar bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin. Berkongsi kebimbangan mendalam kami terhadap keganasan dan keadaan keselamatan yang semakin merosot di rantau ini. Mengulangi pendirian berprinsip lama India dalam isu Israel-Palestin,” tulis PM India itu di X.

    Modi semalam melahirkan rasa terkejut yang mendalam terhadap serangan itu dan berkata mereka yang terlibat dalam insiden itu harus bertanggungjawab.

    Awal hari ini, jurucakap Kementerian Hal Ehwal Luar (MEA) Arindam Bagchi berkata India amat prihatin terhadap korban awam dalam konflik berterusan antara Israel dan Hamas dan situasi kemanusiaan di rantau itu dan menggesa agar undang-undang kemanusiaan antarabangsa dipatuhi dengan ketat.

    “Anda akan melihat komen, tweet serta kenyataan daripada Perdana Menteri…kami telah mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas yang mengerikan ke atas Israel. Masyarakat antarabangsa mesti berdiri bersama dalam memerangi keganasan dalam semua bentuk dan manifestasinya.

    “Berkenaan dengan Palestin, kami telah mengulangi pendirian kami yang telah lama menyokong penyambungan semula rundingan terus ke arah mewujudkan negara Palestin yang berdaulat, merdeka dan berdaya maju yang tinggal dalam sempadan yang selamat dan diiktiraf, berdampingan dengan damai dengan Israel,” katanya pada majlis taklimat media.

    Menjawab soalan, jurucakap itu berkata India telah menyokong Palestin dan pelarian Palestin melalui sumbangan besar kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA). Sejumlah AS$29.53 juta telah disumbangkan kepada UNRWA antara 2002-2023. Sumbangan tahunan India kepada UNRWA dinaikkan daripada AS$1.25 juta kepada AS$5 juta pada 2018. India telah menjanjikan sumbangan tahunan sebanyak AS$5 juta untuk dua tahun akan datang, tambahnya.

    Memberi butiran mengenai ‘operasi Ajay’ untuk membawa pulang orang India dari Israel, beliau berkata setakat ini hampir 1200 orang telah diterbangkan pulang dari negara Yahudi itu, termasuk 18 warga Nepal. “Kami memantau dengan teliti keadaan (di rantau ini)… kami akan merancang lebih banyak penerbangan bergantung kepada permintaan,” katanya.

    Jurucakap itu berkata terdapat empat warga India di Gaza tetapi keadaan tidak kondusif untuk pemindahan pada masa ini. Mengenai sama ada terdapat mangsa India dalam konflik itu, beliau berkata tiada laporan mengenai kesannya. Seorang wanita cedera dan keadaannya kini dinyatakan stabil. – ANN/The Statesman

    Narendra Modi mengucapkan takziah kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas atas kehilangan nyawa orang awam dalam letupan di sebuah hospital di Gaza baru-baru ini. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...