Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modi usaha jalin keakraban bersama Trump

    WASHINGTON, 13 FEB – Perdana Menteri India, Narendra Modi, akan cuba menghidupkan kembali hubungannya dengan Donald Trump – dan mengelak kemarahan Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengenai tarif dan imigresen – apabila mereka bertemu hari ini di Rumah Putih.

    Modi merupakan antara pemimpin asing yang awal mengunjungi Pejabat Oval sejak Republikan itu kembali berkuasa. Sepanjang penggal pertama Trump, mereka berkongsi hubungan yang baik.

    Bagi meredakan ketegangan sebelum lawatannya, Modi telah menawarkan konsesi tarif dengan pantas, termasuk pengurangan duti ke atas motosikal mewah – satu langkah yang memberi manfaat kepada Harley-Davidson, jenama ikonik Amerika yang sebelum ini menghadapi kesukaran di India dan menimbulkan rasa tidak puas hati Trump.

    India juga menerima penerbangan tentera AS yang membawa 100 pendatang dalam keadaan bergari minggu lalu sebagai sebahagian daripada rombakan dasar imigresen Trump, selain berjanji untuk mengambil tindakan tegas terhadap migrasi haram.

    Diplomat tertinggi India, Vikram Misri, berkata minggu lalu bahawa terdapat ‘hubungan yang sangat rapat’ antara kedua-dua pemimpin, meskipun hubungan itu masih belum membawa kejayaan dalam mencapai perjanjian perdagangan dua hala yang telah lama diusahakan.

    Modi adalah antara pemimpin pertama yang mengucapkan tahniah kepada ‘rakan baik’ Trump selepas kemenangannya dalam pilihan raya November lalu.

    Selama hampir tiga dekad, presiden AS daripada kedua-dua parti telah memberi keutamaan kepada hubungan dengan India, melihat negara itu sebagai rakan semula jadi dalam menghadapi kebangkitan China.

    Namun, Trump sebelum ini sering berang dengan India dalam isu perdagangan, yang menjadi tumpuan utama dasar luar negeri penggal baharunya, malah pernah menyifatkan ekonomi kelima terbesar dunia itu sebagai ‘penyalah guna tarif terbesar’.

    Bekas hartawan hartanah itu juga secara terbuka menggunakan tarif sebagai senjata terhadap kawan dan lawan sejak kembali berkuasa. – AFP

    Narendra Modi melambai dari tangga pesawatnya sejurus tiba di Joint Base Andrews, Maryland, pada 12 Februari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda