SAINT PETERSBURG, 29 Jun – Luka Modric datang dari ‘planet lain’ dan pemain terbaik Croatia dalam sejarah, menurut rakan sepasukannya, Ivan Rakitic.
Modric telah menjadi salah seorang pemain tumpuan di Piala Dunia setakat ini, menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan dan membawa Croatia mara ke peringkat 16 sebagai juara Kumpulan D.
Croatia akan berdepan Denmark Ahad ini untuk merebut tempat dalam peringkat suku akhir dan mungkin akan bertemu Sepanyol.
Rakitic tahu tentang Iniesta, beraksi bersama di Barcelona dan berkata, dia dan Modric memiliki bakat yang luar biasa.
“Kedua-dua mereka seperti dari planet lain dan mereka datang untuk beraksi bersama kami di sini,” kata Rakitic.

“Dua pemain itu merupakan antara pemain terbaik dalam posisi mereka. Ia merupakan satu penghormatan bagi saya beraksi dengan Andres di Barcelona selama empat tahun dan bersama Luka selama 11 tahun untuk pasukan kebangsaan.
“Anda cuba untuk menikmatinya sebaik mungkin, belajar daripada mereka. Ia merupakan perkara menarik yang terjadi kepada mana-mana pemain. Jika membentuk satu pasukan bola sepak, saya akan masukkan mereka dalam pasukan saya.
“Andres merupakan salah seorang sahabat baik saya dan saya menganggap Luka sebagai abang saya.”
Bekas pemain tengah Croatia, Robert Prosinecki, yang membuat penampilan bersama Croatia sebanyak 49 kali dan disifatkan sebagai salah seorang pemain yang bagus berkata, Modric merupakan pemain terbaik pasukan itu.
“Saya bersetuju dengannya, bukan sahaja Luka merupakan pemain terbaik tetapi dia seorang individu yang hebat, pemimpin dan kami sentiasa mengikutinya,” kata Rakitic. – AFP