Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Modric mampu musnahkan impian Messi

    DOHA, 12 DIS – Misi memburu Piala Dunia buat Lionel Messi dan Argentina masih lagi membara namun pihak lawan yang tidak kenal erti penat, Croatia yang didorong oleh aksi cemerlang berterusan Luka Modric menjadi halangan mereka pada aksi separuh akhir di Doha.

    Argentina telah pulih daripada kejutan apabila tewas kepada Arab Saudi dalam perlawanan pembukaan di Qatar dan menang dalam empat perlawanan terakhir dengan kemenangan penalti menentang Belanda dalam aksi suku akhir pada pagi Sabtu.

    Setelah mendahului 2-0 sehingga minit ke-83, mereka dibolosi sebanyak dua kali dan terpaksa mengharungi masa tambahan sebelum berjaya mendapat 4-3 dalam sepakan penalti.

    Disokong oleh kontinjen penyokong yang sangat besar, sambil membawa semangat, keriuhan dan warna-warni Argentina ke stadium dalam Piala Dunia kali ini, Messi dan ahli pasukannya percaya tahun ini merupakan milik mereka.

    “Kami mempunyai keberanian, semangat, jiwa dan kami lakukannya untuk 45 juta rakyat Argentina,” kata penjaga gol, Emiliano Martinez, yang semakin optimis selepas melihat pesaing hebat mereka, Brazil tersingkir pada suku akhir.

    Kombinasi gambar bertarikh 12 Disember menunjukkan Messi (kiri) dan Modric (kanan) yang bakal bertemu dalam aksi separuh akhir Piala Dunia Qatar di Doha. – AFP

    Berumur 35 tahun, Messi kini dikatakan mempunyai peluang terakhir untuk memenangi Piala Dunia, lapan tahun selepas Argentina kalah di tangan Jerman di Rio de Janeiro.

    Dia kini lebih bersemangat untuk merebut peluang itu dan telah pun menjaringkan dua gol pertamanya dalam pusingan kalah mati, meledak gol semasa menentang Australia dalam pusingan 16 terakhir sebelum jaringan melalui sepakan penalti semasa berdepan Belanda.

    Kejayaan Piala Dunia bakal melengkapkan karier gemilang buat pemenang tujuh kali Ballon d’Or, yang merupakan pemain kelab bola sepak terbaik di dunia.

    Selepas bertahun-tahun gagal memenuhi impian di peringkat antarabangsa, dia telah mendorong Argentina untuk memenangi Copa America pada tahun lepas, namun dia tahu tiada lawan yang mampu bertahan lebih lama berbanding Croatia.

    Walau bagaimanapun, sebarang rasa lega apabila berjaya mengelak bertemu Brazil dalam separuh akhir akan dipengaruhi oleh hakikat berdepan dengan Croatia yang berjaya menumbangkan pasukan pilihan melalui sepakan penalti dan tidak mudah menyerah kalah.

    “Mereka adalah pasukan yang hebat yang setanding dengan Brazil dan ada kalanya lebih baik,” ujar Messi.

    “Mereka mempunyai pemain yang handal di bahagian pertengahan dan mereka dilatih oleh jurulatih yang sama sejak Piala Dunia yang lalu, jadi mereka mengenali antara satu sama lain dengan baik.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda