ZAGREB, 8 Nov – Croatia akan berharap bintang Real Madrid, Luka Modric boleh menjulang negaranya ke Piala Dunia menjelang perlawanan pertama playoff sukar menentang Greece pagi Jumaat ini.
Kapten berusia 32 tahun itu telah berdepan dengan tahun yang tidak menentu, dengan reputasinya dicemari skandal pada bulan Jun atas dakwaan memberikan testimoni palsu ketika perbicaraan rasuah yang besar.
Tetapi kemarahan daripada para penyokong kelihatannya dilupakan dengan pantas apabila menghasilkan persembahan hebat dalam kemenangan 2-0 menentang Ukraine di Kiev pada bulan Oktober, yang memastikan tempat playoff bagi Croatia.
Pasukan kebangsaan kini berharap pemain tengah itu akan berada di tahap terbaiknya untuk membantu menewaskan juara Eropah 2004 dan memastikan tempat di kejohanan itu di Rusia.
Modric merupakan bintang terbesar Croatia pernah hasilkan sejak 1998, ketika mereka dengan mengejut mara ke separuh akhir Piala Dunia, tewas kepada pemenang ketika itu, Perancis.

Pada bulan Oktober, buat kali ketiga, Modric telah tersenarai dalam pasukan FIFPro oleh ribuan pemain profesional bola sepak. Pada tahun 2015, dia menjadi pemain Croatia pertama diundi menjadi barisan kesebelasan FIFPro.
Menjelang perlawanan Jumaat ini, Modric berkata: “Kami mempunyai keyakinan tetapi juga lawan yang sukar” di Greece.
Jika Croatia layak, ia akan menjadi kejohanan keenam Modric. Dia sudah bermain dalam dua Piala Dunia dan tiga Kejuaraan Eropah, termasuk di Perancis 2016.
Modric mempunyai 101 kap bersama Croatia dan sudah menjaringkan 11 gol.
Croatia bermain di laman sendiri dalam perlawanan pertama, yang akan diadakan di Stadium Zagreb Maksimir. Manakala aksi balas berlangsung di Piraeus.
Persekutuan bola sepak bagi kedua-dua negara bersetuju bahawa atas sebab keselamatan, kedua-dua perlawanan akan berlangsung tanpa penyokong pelawat. – AFP