Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – Pasukan Kementerian Pembangunan (MODEV) mara ke separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017, mengiringi Pasukan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA) ke pusingan kalah mati itu.
Pasukan MODEV beroleh kelebihan perbezaan jaringan meskipun Pasukan Kementerian Pendidikan (MOE) berjaya menewaskan Pasukan Kementerian Kewangan (MOF) dengan jaringan 4-0.
Dalam perlawanan penentuan yang berlangsung di Kompleks Balapan dan Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu, menyaksikan Pasukan MOE menguasai permainan dan mula menjaringkan gol melalui Aminuddin Jumat lewat babak pertama.

Pada babak kedua, Noor Raimi @ Syahremmy Karim menggandakan kelebihan MOE dengan menjadikan kedudukan 2-0 apabila berjaya menggegarkan gawang MOF pada minit ke-70, sebelum kedudukan berubah menjadi 3-0 melalui jaringan Mohd Helme Panjang pada minit ke-84. Patrick Layang melengkapkan kemenangan MOE dengan jaringan keempat pada minit ke-90 perlawanan.
Kejohanan Piala Keputeraan 2017 ini adalah anjuran Jawatankuasa Tertinggi Kejohanan Bola Sepak Piala Keputeraan 2017 dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, dan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam.