Kementerian Pendidikan (MOE) ingin merujuk ruangan Pendapat Pembaca bertajuk Pantau MBK di Sekolah Dengan Cara Betul yang diterbitkan melalui akhbar Media Permata pada 23 April lalu.
Kementerian Pendidikan mengambil maklum akan keluhan penulis iaitu Ibu Khuatir berkenaan kebimbangan terhadap pengalaman anak beliau di sekolah, khususnya berkaitan dengan penempatan seorang murid berkeperluan khas (MBK) dalam kelas aliran perdana.
Sebagai komitmen kementerian berkenaan terhadap pendidikan inklusif, Sistem Pendidikan Negara Brunei Darussalam diperkukuh melalui pengesahan Konvensyen Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) pada tahun 2016 serta sokongan terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 yang menekankan ‘pendidikan yang inklusif dan saksama serta peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua’.
Komitmen itu juga dilaksanakan melalui Rangka Kerja Pendidikan Khas dan penguatkuasaan pendidikan wajib yang mencerminkan komitmen kukuh Negara Brunei Darussalam dalam mencapai sasaran pendidikan tersebut.
Sehubungan dengan itu, kejayaan sistem pendidikan inklusif tidak hanya bergantung pada penempatan MBK dalam kelas biasa, tetapi pada ekosistem yang menyeluruh, sumber yang mencukupi serta latihan berterusan kepada semua pihak terlibat melalui inisiatif-inisiatif yang telah dilaksanakan.

Inisiatif berkenaan merangkumi Penempatan Pembantu Guru dan Pegawai Pengurus Pelajar Berkeperluan Khas, iaitu Individu terlatih ditempatkan untuk membantu keperluan pembelajaran MBK sama ada di dalam kelas khas mahupun kelas aliran perdana mengikut keperluan masing-masing; Pelan Pendidikan Individu (IEP) iaitu rancangan pembelajaran khusus yang disesuaikan dengan keperluan MBK serta latihan dan pembangunan profesional untuk guru aliran perdana bagi meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam mengendalikan MBK.
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas juga sentiasa memantau dan menilai penempatan MBK serta mencadangkan penyesuaian atau penempatan semula bersama ahli-ahli komiti peringkat sekolah sekiranya penempatan inklusif secara sepenuh masa didapati tidak sesuai atau berisiko menjejaskan kesejahteraan murid lain.
Keputusan penempatan itu dibuat berdasarkan penilaian menyeluruh yang mengambil kira keseimbangan antara hak MBK dan keperluan semua murid.
Dalam hal ini, Kementerian Pendidikan amat menghargai sebarang maklum balas bagi memperkukuh sistem pendidikan inklusif negara, demi memastikan keperluan semua murid, termasuk MBK dapat ditangani secara adil dan berkesan.
Sehubungan itu, kerjasama daripada ibu bapa dan penjaga amat dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang kebimbangan dengan berbincang bersama pihak sekolah atau terus kepada pihak Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas.
Sebarang aduan atau pertanyaan juga boleh disalurkan kepada Bahagian Komunikasi Korporat, Kementerian Pendidikan di talian 2381301 atau melalui e-mel ke feedback@moe.gov.bn.
Kementerian Pendidikan