Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 MAC – Majlis Bertadarus sempena Bulan Ramadan bagi Tahun 1446H/2025M Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) serta Jabatan-jabatan di dalamnya diadakan hari ini bertempat di Masjid Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Kampung Tungku, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.
Majlis bertadarus dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu kehormat dan diteruskan dengan tadarus Al-Quran daripada pegawai dan kakitangan MOFE dan diselajurkan dengan penyerahan sumbangan wakaf serta solat Fardu Asar berjemaah.
Majlis seumpama ini adalah merupakan aktiviti keagamaan tahunan kementerian berkenaan pada setiap tahun pada bulan Ramadan untuk mengeratkan silaturahim di antara pegawai-pegawai dan kakitangan MOFE serta jabatan-jabatan di dalamnya bagi meraih pahala lebih-lebih lagi untuk mendapatkan keredhaan serta keberkatan daripada Allah SWT.
Majlis bertadarus pada tahun ini telah diselenggarakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid; Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal), Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani; setiausaha tetap, pemangku setiausaha-setiausaha tetap, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan dan bahagian berserta pegawai dan kakitangan MOFE.