Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    MOFE belum terima cadangan rasmi BS-SEZ

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OGOS – Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) melalui Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) setakat ini belum menerima sebarang cadangan rasmi berhubung penubuhan Zon Ekonomi Dua Hala (BS-SEZ) antara Kuala Belait dan Kuala Baram, Sarawak.

    Perkara berkenaan dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Amin Liew bin Abdullah semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Dayang Hajah Rosmawatty binti Haji Abdul Mumin pada hari ketiga Persidangan MMN, hari ini.

    Gambar hiasan Canva.

    Dalam pertanyaannya, Yang Berhormat Dato menyentuh mengenai cadangan penubuhan zon tersebut susulan lawatan ahli Parlimen Miri ke MMN pada Januari 2025, serta bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai pelan tindakan dalam mewujudkan ejen dan perunding pelaburan langsung asing (FDI) demi merealisasikan inisiatif berkenaan.

    Menjawab persoalan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa pihak kerajaan sentiasa bersikap terbuka untuk meneroka sebarang cadangan strategik yang berpotensi memberikan manfaat ekonomi kepada negara, termasuklah kemungkinan penubuhan BS-SEZ antara kedua-dua wilayah bersempadan.

    “Sebarang cadangan ke arah itu akan diteliti dengan mengambil kira kesesuaian dari segi impak ekonomi serta potensi kerjasama rentas sempadan yang memberi nilai tambah kepada pembangunan negara,” jelasnya.

    BS-SEZ merupakan konsep kerjasama ekonomi antara dua buah negara atau wilayah yang saling bersempadan, dengan tujuan menggalakkan pelaburan, pembangunan industri dan peluang pekerjaan secara bersama.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda