Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT- Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) dengan kerjasama Brunei Darussalam Institute of Certified Public Accountants (BICPA) mengadakan Sesi Taklimat Akta Penyimpanan Rekod (Perniagaan), Penggal 249 yang berlangsung di Dewan Teater, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Hasil, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, menyatakan sesi taklimat itu bermatlamat bagi memastikan peniaga-peniaga memahami dan mematuhi peruntukan undang-undang yang terkandung di dalam Akta Penyimpanan Rekod (Perniagaan), Penggal 249.

Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Kewangan di Bahagian Hasil, MOFE, Awang Muhamad Iq’bal bin Haji Ishak, di mana antaranya telah menjelaskan berhubung keperluan bagi setiap entiti perniagaan di Negara Brunei Darussalam untuk menyimpan rekod-rekod perniagaan dengan teratur sekurang-kurangnya untuk tempoh lima tahun.
Pada sesi berkenaan, turut menyampaikan taklimat ialah Ahli Majlis BICPA, Haji Shazali bin Tan Sri Dato Haji Sulaiman, telah menekankan tentang keperluan penyimpanan buku dan faedah penyediaan Penyata Kewangan yang akan membantu pemilik perniagaan dalam membuat perancangan kewangan yang teratur, membuat keputusan kewangan bagi perniagaan dan menarik pelabur-pelabur berpotensi.


