Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    MOFE, IsDB tandatangani MoU

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah telah menerima kunjungan muhibah daripada Presiden Islamic Development Bank (IsDB), Tuan Yang Terutama Dr Muhammad Al-Jasser semasa lawatan kerja ke Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE), di sini, semasa kunjungan muhibah berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Dr Muhammad Al-Jasser telah bertukar-tukar pandangan berhubung isu-isu semasa dan membincangkan hubungan Negara Brunei Darussalam-IsDB serta juga peluang-peluang untuk meningkatkan kerjasama.

    Selepas kunjungan muhibah berkenaan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Dr Muhammad Al-Jasser beredar ke majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Perkongsian Strategik dan Rangka Kerja Penglibatan Negara bagi Brunei Darussalam.

    Semasa majlis tersebut, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam kenyataannya menekankan bahawa penandatanganan MoU berkenaan mencerminkan komitmen dan visi bersama kedua-dua belah pihak ke arah matlamat yang sama iaitu memacu Negara Brunei Darussalam ke arah sebuah ekonomi yang dinamik dan mampan yang patuh kepada falsafah negara, Melayu Islam Beraja (MIB).

    Sementara itu, TYT Dr Muhammad Al-Jasser dalam kenyataan mengetengahkan komitmen IsDB kepada menyokong cita-cita Negara Brunei Darussalam yang digariskan dalam Wawasan Brunei 2035 dan Pelan Tindakan Ekonomi Brunei Darussalam.

    Menandatangani MoU bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan bagi pihak IsDB ialah TYT Dr Muhammad Al-Jasser.

    Turut hadir semasa majlis penandatanganan MoU tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid dan pemangku setiausaha tetap, Pengarah Urusan Brunei Darussalam Central Bank, timbalan setiausaha tetap, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai kanan MOFE.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan TYT Dr Muhammad Al-Jasser selepas menandatangani MoU semasa majlis tersebut. – GAMBAR SERAHAN MOFE
    GAMBAR SERAHAN MOFE

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda