Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mogok berlarutan, Seoul beralih kepada khidmat doktor asing

    SEOUL, 10 MEI – Korea Selatan akan membenarkan doktor asing bekerja di hospital di negara itu selepas melalui proses tapisan yang ketat, kata Perdana Menterinya hari ini berikutan mogok selama berbulan-bulan dalam kalangan pegawai perubatan muda tidak menunjukkan sebarang tanda penyelesaian.

    Beribu-ribu doktor bertindak berhenti kerja pada 20 Februari lalu sebagai bantahan susulan rancangan kerajaan untuk melatih lebih ramai doktor yang sekali gus menyebabkan keadaan huru-hara di hospital.

    Kerajaan yang menawarkan beberapa konsesi dalam usaha untuk menamatkan kebuntuan memaklumkan pada minggu ini, doktor dengan lesen perubatan asing akan dibenarkan untuk berkhidmat di negara itu dalam usaha mengurangkan gangguan perkhidmatan.

    Selepas langkah itu diumumkan, Ketua Persatuan Perubatan Korea (KMA), Lim Hyun-taek, berkongsi tangkap layar laporan berita mengenai doktor Somalia yang baru tamat pengajian dengan komen, ‘Akan Datang’.

    Menurut setiausaha agung sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong rawatan perubatan percuma, Kim Jae-heon, memberitahu AFP, hantaran itu yang kemudiannya diturunkan, bukan sahaja mengundang kritikan meluas di media sosial, malah amat tidak bersesuaian serta jelas menyentuh sentimen perkauman.

    Tambahnya, hantaran itu mengeksploitasi Islamofobia dan stereotaip terhadap negara membangun.

    Perdana Menteri, Han Duck-soo, hari ini berkata kerajaan akan memastikan sistem keselamatan yang menyeluruh dilaksanakan bagi menghalang doktor yang tidak berkelayakan (dengan lesen asing) daripada merawat rakyat negara itu.

    Kerajaan berdepan kebuntuan yang berlarutan berikutan doktor muda enggan kembali berkhidmat ke hospital walaupun Kementerian Kesihatan pada bulan lalu mahu mempertimbangkan semula cadangan pembaharuan latihan perubatan untuk 2025.

    Bagaimanapun, kumpulan doktor yang terbabit dalam mogok menolak tawaran itu, sebaliknya menuntut rancangan untuk mewujudkan lebih banyak jawatan doktor yang menurut kerajaan penting untuk menangani kekurangan dan menjaga populasi yang semakin menua telah dibatalkan sepenuhnya. – AFP

    Doktor membantah rancangan kerajaan untuk menaikkan kuota pendaftaran tahunan di sekolah perubatan, di Seoul pada 25 Februari lalu. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda