BRUSSELS, 14 OKT – Mogok berhubung rancangan penjimatan kerajaan Belgium menyebabkan penerbangan terkandas dan pengangkutan awam terjejas hari ini, dengan puluhan ribu orang dijangka menyertai demonstrasi besar-besaran di Brussels.
Lapangan Terbang Brussels, yang terbesar di Belgium, membatalkan semua penerbangan berlepas selepas kakitangan keselamatan berhenti kerja. Lapangan Terbang Charleroi, hab utama penerbangan tambang murah Ryanair di Eropah, turut mengumumkan tidak dapat beroperasi kerana kekurangan kakitangan.
Mogok ini merupakan yang terkini dalam siri tindakan protes yang melanda negara Eropah itu sejak Bart De Wever, nasionalis Flemish, dilantik sebagai Perdana Menteri pada Februari lalu.
Berhadapan dengan defisit bajet yang melanggar peraturan Kesatuan Eropah, kerajaan kini merancang untuk melaksanakan reformasi pencen serta langkah penjimatan lain, tindakan yang mencetuskan kemarahan kesatuan sekerja.
“Kerajaan ini berjanji akan mewujudkan lebih banyak pekerjaan mampan dan meningkatkan kuasa beli. Hanya janji kosong! Sekali lagi, semua orang menanggung akibatnya kecuali golongan kaya,” kata kesatuan sekerja CSC, sambil menggesa orang ramai turun ke jalanan.
Kesatuan sekerja menjangkakan puluhan ribu akan menyertai perhimpunan di Brussels kelmarin, manakala kelewatan dan pembatalan turut menjejaskan perkhidmatan metro, trem, dan bas di ibu negara.
Polis Brussels menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan beberapa kawasan pusat bandar dan menggunakan kenderaan persendirian jika perlu. – AFP


