Tuesday, March 11, 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mogok di lapangan terbang utama dijangka ganggu perjalanan seluruh Jerman

    BERLIN/FRANKFURT, 10 MAC – Mogok bermula di lapangan terbang utama Jerman pada tengah malam kelmarin, dengan pekerja perkhidmatan awam, kakitangan darat dan keselamatan penerbangan diarah untuk berhenti kerja selama 24 jam oleh kesatuan sekerja Verdi dalam dua pertikaian gaji berbeza, lapor agensi berita Jerman dpa.

    Mogok seterusnya di kemudahan yang dikendalikan oleh kerajaan persekutuan dan pihak berkuasa tempatan juga akan diteruskan minggu ini, menurut jurucakap Verdi.

    Pusingan ketiga rundingan gaji dijadual berlangsung di Potsdam, berhampiran Berlin pada Jumaat.

    Mogok gaji itu bertujuan untuk melumpuhkan pengangkutan udara di sebahagian besar Jerman, dengan persatuan lapangan terbang ADV meramalkan bahawa lebih 3,400 penerbangan akan dibatalkan dan 510,000 penumpang tidak dapat menaiki pesawat seperti yang dijadualkan.

    Mogok sektor awam yang dirancang sejak Jumaat itu turut disertai pekerja dalam sektor keselamatan penerbangan termasuk mereka yang bertugas dalam kawalan penumpang dan kakitangan, barangan dan kargo serta di kawasan perkhidmatan.

    Perjanjian buruh kolektif baharu sedang dirundingkan bagi kumpulan pekerja itu dengan pusingan rundingan seterusnya dijadualkan pada 26 dan 27 Mac.

    Menurut kawalan trafik udara Jerman, kira-kira 6,000 pergerakan penerbangan berlaku setiap hari di lapangan terbang Jerman, dengan 3,000 lagi melintasi ruang udara Jerman.

    Verdi telah mengarahkan pekerja perkhidmatan awam serta kakitangan darat yang bertanggungjawab membersihkan, memuatkan dan mengisi bahan api pesawat untuk menyertai mogok di hab utama Frankfurt, serta di lapangan terbang Munich, Stuttgart, Cologne/Bonn, Dusseldorf, Dortmund, Hanover, Bremen, Hamburg, Berlin-Brandenburg dan Leipzig-Halle. – Bernama

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda