Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Mogok jejas ribuan penerbangan

    FRANKFURT, JERMAN, 17 FEB – Puluhan ribu pengembara berdepan penangguhan dan pembatalan penerbangan hari ini ketika pekerja di lapan lapangan terbang di Jerman melancarkan mogok untuk menuntut gaji lebih baik.

    Mogok seharian itu, dianjurkan oleh kesatuan perniagaan Verdi, mendorong syarikat penerbangan terbesar Jerman Lufthansa membatalkan lebih daripada 1,300 penerbangan di dua hab paling sibuk, Frankfurt dan Munich.

    “Mogok dijangka memberikan kesan yang serius, terutamanya ke atas lalu lintas udara domestik, daripada penangguhan kepada pembatalan malah penutupan sebahagian lalu lintas udara,” kata Verdi dalam satu kenyataan.

    Persatuan lapangan terbang Jerman ADV menggelar mogok ‘tidak diterima langsung’, berkata ia akan menjejas kira-kira 295,000 penumpang dan lebih 2,300 penerbangan pada keseluruhannya.

    “Jalan penyelesaian mesti dicapai di meja rundingan dan bukan menjejaskan penumpang,” kata Ketua ADV, Ralph Beisel dalam kenyataan.

    Lapangan terbang lain yang terjejas terletak di bandar Bremen, Dortmund, Hamburg, Hanover, Leipzig dan Stutt-gart.

    Sementara itu, lapangan terbang Frankfurt dan Hamburg menggesa penumpang supaya jangan datang ke lapangan terbang. Mereka yang mengadakan perjalanan di Jerman dinasihatkan supaya beralih kepada perjalanan kereta api. Lapangan terbang Munich telah membatalkan semua penerbangan tetap. – AFP

    Anggota Persatuan Perkhidmatan Awam Jerman memegang sepanduk ketika mereka mengadakan mogok di Lapangan Terbang Frankfurt, barat Jerman kelmarin. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda