SEOUL, 28 MAC – Ribuan pemandu bas di Seoul menamatkan mogok selama berjam-jam dan kembali ke jalan raya hari ini selepas kesatuan mereka mencapai kompromi dengan majikan berhubung kenaikan gaji.
Perjanjian tersebut dicapai berikutan mogok yang dilancarkan lebih awal pada hari yang sama yang mengganggu 97 peratus laluan bas di ibu negara Korea Selatan, mencetuskan kekacauan bagi penumpang semasa waktu puncak pagi.
Ia merupakan mogok am pertama oleh pemandu sejak 2012 dan berlaku selepas rundingan mengenai gaji gagal pada awal hari ini, dengan pemandu meminta kenaikan gaji 12.7 peratus sejam. Namun, kedua-dua pihak mencapai persetujuan dalam rundingan pusingan kedua yang diadakan pada petang yang sama, dengan pemandu menerima kenaikan 4.48 peratus dan bonus untuk dua cuti utama, menurut kerajaan bandar Seoul. “Bermula dari jam 1500, semua laluan bas akan menjadi normal,” katanya.
Mogok itu telah menyebabkan banyak stesen bas kosong ketika penumpang beralih ke kereta api bawah tanah untuk pergi bekerja, dengan sesetengah daripada mereka terkejut dengan berita tersebut.
Kerajaan bandar Seoul telah memanjangkan waktu operasi kereta api bawah tanah dan menambah lebih banyak kereta api semasa waktu puncak, sambil berjanji untuk ‘mengerahkan setiap jenis pengangkutan’ yang ada. – AFP